Suatu petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya, “kamu usah jadi pemburu.” “Kenapa tok?” Dia tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. “Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu,” tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertanyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.
Datuk memang
handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi
Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh
hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan
pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk
ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak
sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat di kening
di antara kedua-dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan
dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak
bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia
membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak
kanannya. Dilemparkannya sebelah kiri.
Datuk dapat
senapang bukan kerana dia Home Guard
atau A.P. Dia minta sendiri pada
kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang
ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan
datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan
ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam
tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk
hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh
yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu
mendengar cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di
kebun, kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya,
kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu ibu
saya. Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemarannya. Dia pemurah dan suka
mendengar orang mengaji Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal
membaca al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk
memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan
melalui saya.
Biasanya, kalau
datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja, yang
separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: Suatu ketika
datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari
berhampiran dengan Pantai Remis.
Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya
berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa
disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk mengikutnya
dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil tempat di
sebalik pokok besar. Datuk menghala muncung senapang pada kepala rusa. Dia
yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang diingininya. Tetapi rusa itu
bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam
mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan
datuk dan terus hilang.
Datuk terkejut dan
bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus asa. Dia mencari
kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa itu lari. Dia
mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk merapatkan
telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar
diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ, seekor rusa lain muncul di
depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi.
Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana
terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk
gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak
di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk
membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.
Bila datuk
memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud
dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada
sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk
melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah
dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang
lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia yang lemah semangat,
kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh,
berperahu ke Pengkalan Bharu dan
bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak bertalu-talu. Rusa terus
menjadi tiga, empat, lima, enam dan tujuh. Kokok ayam hutan bertambah nyaring.
Daun-daun hutan di
keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya
jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa
daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini
mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah
seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak,
alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan
dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur
mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui
pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu
adalah jin penunggu hutan itu.
Muka datuk jadi
merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk tidak
berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya
merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah
kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin
yang sama hebat dengannya.
“Kurang ajar,
manusia laknat,” suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup
angin.
Datuk diam
bertafakur.
“Kau tahu
kesalahan kau manusia?” Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh.
Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu
batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang
menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.
“Tidak,” jawab
datuk dengan berani.
“Kau masuk ke
dalam kawasan larangan ku.”
“Aku sudah meminta
kebenaran.”
“Aku tidak
membenarkan.” Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur
bergerak-gerak.
“Kalau kau tidak
membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi.” Cukup
tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.
“Kau manusia
biadap”, pekik jin itu, pepohon hutan nampak bergerak-gerak. Keyakinan datuk setiap makhluk di muka bumi
adalah milik Allah. Satu pertarungan batin pun bermula.