SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH

Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang Khoja Lisut. 


Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri Khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat. Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

    

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

    

"Kenapa?" Saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

    

"Semuanya sudah habis, Tamar."

    

"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu. Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

    

"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."

    

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.

    

Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

    

"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" Tanya datuk.

    

"Kau nampak aku sudah cukup tua?" Dalam tercungap-cungap Khoja Lisut  bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

   

"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.  “Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya. Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

   

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan datuk dan Mat Upeh.

    

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.

 

TURUN

      

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.

    

Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung legan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

    

“Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?" Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

    

"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"

    

"Tidak," jawab Khoja Lisut.

   

"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

    

"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

    

Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut. Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan datuk jangan mendekatinya.

    

Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.

    

"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."

    

Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi. Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.

    

"Kenapa tak boleh bantu dia?" Ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin. Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh datuk.

 

"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur,"

 

Tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat datuk. Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya. Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari datuk singgah ke pipi. Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hintungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelenggangan datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi. Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah datuk.

    

"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan datuk yang dipegangnya.Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.’ Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran datuk itu.

    

"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang datuk berikan kepada Haji Yatimi.

    

"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"

    

"Tapi...," sanggah datuk.

    

"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu.

    

"Saya faham," datuk seperti mengalah.

    

Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah. Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.

    

"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."

    

"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” Saya pintas cakap Haji Yatimi. Saya jeling ke arah datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.

    

"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."

    

"Saya faham,” kata saya.

    

"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."

    

"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya. Mat Upeh dan datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu.    Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.

    

Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.

    

"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada datuk.

    

"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepasa Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh skali, bukan datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.

    

"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.

 

"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan.  

”Mungkin ada yang mahu ikut sama,” tingkah datuk.

    

"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.

    

"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.

    

"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."

    

"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.


 

PULANG

    

Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib. Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.

    

"Nak ke mana Tamar?"

    

"Balik, tuk."

    

"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu."

    

"Baik tuk," kata saya.

    

Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh datuk. Secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang. Saya segera menoleh, datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.

    

"Kenapa tuk?"

    

"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," datuk berhenti bercakap. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.

    

"Apa dia perkara yang datuk terlupa nak cakapkan tu," ulang saya.

 

"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju melayu dan dua helai kain basahan," tutur datuk dengan tenang.

    

Saya terkejut mendengar permintaan datuk itu. Lama juga saya termenung, brfikir kenapa datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin datuk mahu pergi ke mana-mana.

    

"Buat apa semuanya tu datuk?"

   

"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju."

    

"Kain basahan pula?"

    

"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."

    

Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.

    

"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."

    

"Ha.." mulut saya ternganga. Terkejut dengan arahan baru datuk itu. Tidak diduga begitu cepat datuk mahukan barang-barang tersebut. Pada awalnya, saya kira datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.

    

"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."

   

 "Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?"

   

"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?" Suara datuk mula meninggi, dia terus menjengilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.

    

"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang datuk mahu tu."

  

 "Hum, cepat datang."

    

Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah. Dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang. 

Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.

    

Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.

    

Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali. Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya diperlihara dengan baik.


 

BELAJAR

    

Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana datuk neneknya memang beragama Islam. Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan. Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang muslim sejati.

    

Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya. Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari datuk neneknya.

    

Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnmya. Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelh mendengar pendapat Haji yatimi terhadap Khoja Lisut.

    

Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh. Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat datuk. Dia minta datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.

    

Matahari bersinar lembut, menjamah reruput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering. Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk nerangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.

    

"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.

    

"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."

    

"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."

    

"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."

   

 "Aku doakan kamu bahagia," kata Haji Yatimi.

    

"Aku juga begitu,” celah datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.

    

"Apa bendanya ni?" Tanya Khoja Lisut.

   

 "Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik."

   

 "Terima kasih."

    

"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumahtangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan. Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya."

    

"Mana tuan haji tahu semuanya ni?'

    

"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya.”

    

Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat. Bila perasaannya sudah tenang, diapun bersalam dengan datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.

    

"Selamat tinggal."

    

"Selamat jalan," kata kami serentak.

    

Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik. Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.


 

LAUT

    

Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut. Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam tehadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemsraan.

    

Dia saya anggap sebagai datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji yatimi datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran datuk terus menurun.

    

Haji yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawan, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya. Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya, "Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.

    

Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada datuk. Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.

    

Sebaik sahaja datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar. Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.

    

"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku," kata datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.

    

"Tak ada apa-apa,” balas saya.

    

"Hmmm.." suara datuk mendatar. Tetapi senyum sinis yang terukir dibibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya. Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.

    

"Saya nak tanya datuk satu perkara."

    

"Apa dia, Tamar?"

    

Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.

    

"Apa dia Tamar?” Ulang datuk.

    

"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh datuk. Saya sekadar senyum sahaja.

    

Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan petanyaan, datuk angkat cawan kopi lalu mengirupnya dengan tenang. Kemudian dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.

    

"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal."

    

“Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.

    

"Saya nak tanya tentang Pak.."

    

"Haji yatimi?" Datuk segera memintas percakapan saya.

 

"Iya Tuk."

 

"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"

    

"Tak ada tuk," jawab saya seraya menggelengkan kepala. 


Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box