SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS

Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan datuk.


“Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat.”


“Saya juga terfikir ke arah itu tapi…,” datuk tidak meneruskan kata-katanya. Saya lihat datuk kerutkan kening macam ada sesuatu masalah besar yang bermain dalam kepala. 


“Apa masalah yang awak fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan. 


“Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”


“Mudah saja.”


“Mudah macam mana?”…


“Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus menentangnya.”


“Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji.”


“Kita adakan,” tingkah Haji Salim tenang. 


Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan. 


Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah sambil berbunyi. Haji Salim juga bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang dipakai. 


“Aduh,” jerit saya sekuat hati. 


Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal. Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas. 


Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher saya. Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu. 


“Benda sial tu, masih ada lagi di sini,” nada suara datuk meninggi. Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib. 


“Leher cucu kamu lebam dan bercalar,” Haji Salim memberitahu datuk dengan wajah yang sedikit cemas. 


“Tak apa, benda tu mencabar kita,” balas datuk.


“Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim penuh kesal. 


Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan aman. Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat asal. 


Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu. 


“Huuuupppp…,” jerit Haji Salim sambil melompat. Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung ke arah datuk dan saya. 


Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain. Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal hidung, di telinga atau di kening. Tindak tanduk belalang kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah. 


“Belalang sial,” jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali yang kelima. Ia bangun dan terus mengambil batang penyapu. 


Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke dinding. Belum pun sempat penyapu menjamah dinding, belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan kemerah-merahan, sinar matanya nampak garang sekali. 


“Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri,” kata datuk.


“Sial betul.”


“Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis,” kata datuk dengan tenang. 


“Nak buat apa?”


“Saya nak menumis sambal belalang kunyit?”


“Ah…,” Haji Salim terkejut. Wajah datuk direnungnya tepat. Ia mahu mempastikan apakah datuk bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.


“Kau bergurau dalam masa orang cemas begini?”


“Tidak,” datuk bangun menuju ke ruang dapur. Tiba-tiba belalang yang terbang ke sana ke mari dalam ruang, terus menghilang tanpa dapat dikesan.


“Dah hilang,” kata saya. Langkah datuk terus mati. Haji Salim letakkan penyapu atas pelantar. Kami merenung ke setiap sudut tidak bergerak lagi. Suasana terasa sepi sekali. 


“Aku harap dia keluar terus dari sini,” keluh datuk lalu melangkah dan berdiri di muka jendela. Melihat langit petang yang cerah, beberapa ekor burung gagak kelihatan terbang dengan bebas sambil berbunyi. 


“Biar kami balik dulu,” kata datuk. Saya pun segera bangun mengikut langkah datuk menuju ke muka pintu. 


“Boleh saya gunakan petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau ia datang lagi,” Haji Salim berlari mendapatkan datuk. Saya lihat datuk tersenyum.


“Boleh, saya dapat petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata mereka itulah petua menghalau hantu syaitan seperti pelesit dan jembalana,” terang datuk dengan tenang. Haji Salim anggukkan kepala. 


                                           PULANG


Saya dan datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur condong. Burung-burung gagak berkeliaran melompat dari dahan ke dahan sambil berbunyi dalam nada suara yang nyaring. Lebih kurang dua puluh langkah kaki melangkah, saya menoleh ke arah rumah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim masih tercegat di muka pintu, melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan datuk. 


“Ada masanya petua orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok. Lepas aku cakap begitu belalang tu terus ghaib entah ke mana,” beritahu datuk kepada saya. Macam selalu, bila datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan kepala sahaja. 


Kira-kira sepuluh minit perjalanan, akhirnya saya dan datuk sampai ke rumah. Saya terus menuju ke bilik dapur. Saya lihat nenek sedang duduk memilih antah beras. Tanpa membuang masa, saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya memilih antah beras. 


Saya mampu bertahan di sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja. Memilih antah beras memang membosankan dan tidak layak untuk dikerjakan oleh orang lelaki. Saya terus bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu melangkah nenek terus bersuara.


“Kau dan datuk singgah di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang disediakan semuanya sudah sejuk.”


“Singgah rumah Haji Salim,” sahut datuk dari atas. 


Saya senyum memandang ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Saya terus masuk ruang anjung. Tukar baju dan seluar.Saya ambil gasing dan tali di bawah meja. Kemudian melompat ke halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi mencari kawan untuk diajak main gasing. 


“Tamar.”


“Ya tuk.”


“Kau mahu main gasing dengan kawan-kawan.”


“Ya tuk.”


“Jangan main lama-lama, dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau merayau ke mana-mana. Keadaan tidak begitu aman.”


“Saya pergi main kejap aje tuk.”


“Pergilah.”


“Baik tuk,” saya terus melompat keriangan. Kemudian terus berlari menuju ke rumah beberapa orang kawan. Menjelang waktu Maghrib baru saya pulang. Tetapi kepulangan saya, tidak segembira waktu saya pergi tadi.


Gasing kesayangan saya terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis rasanya, melihat gasing yang dibuat dari batang limau terkopak dua dan pakunya tercabut lalu hilang. 


“Esok aku buat yang baru,” kata saya menghiburkan hati. 


                                         MENETAP


Sudah dua hari Haji Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari orang-orang kampung terhindar dari gangguan perkara-perkara yang ganjil. Semuanya berada dalam keadaan aman. 


Selama dua hari juga, datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di hujung kampung dengan nenek atau saya. Datuk lebih banyak membisu dan membuat amalan pada waktu malam. Pada sebelah siangnya, datuk banyak menghabiskan dengan membuat lukah atau memburu ayam hutan.


Berdasarkan pada tindak tanduknya itu, saya menganggap datuk dan Haji Salim telah berjaya membanteras perbuatan terkutuk itu dengan cara kebatinan. Kalaulah anggapan saya itu benar, saya memang gembira.


Dua minggu kemudian, kira-kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke rumah datuk dengan membawa sundang. Datuk yang sedang membaca surah Yasin terkejut dengan kedatangan Haji Salim.


“Bukankah sudah saya pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur selama tiga minggu. Apa awak sudah lupa. Kalau macam ini awak, usaha kita akan jadi sia-sia, kita buat perkara bodoh,” suara datuk keras. Pertama kali saya lihat datuk bersikap kasar terhadap Haji Salim. 


Datuk berdiri di muka pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke anjung. Andang daun kelapa yang dibawah oleh Haji Salim menerangi sebahagian daripada halaman rumah. Cahaya andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung. 


“Maafkan saya, saya ada masalah besar,” tambah Haji Salim yang memakai kain pelekat petak besar, berbaju putih tebal yang sudah bertukar warna menjadi agak kekuning-kuningan, bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.


“Apa masalahnya?”


“Cucu saudara saya, hilang.”


“Lelaki ke perempuan.”


“Perempuan, baru anak dara sunti.”


“Haaa…,” datuk mengeluh. Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai wajahnya sebentar tadi terus hilang. 


“Sudah dicari ke belum?” tanya datuk.


“Saya sudah puas mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya ingat pesan yang awak buat pada saya dulu, saya terpaksa melanggarnya. Saya sudah terpaksa.”


“Sudah terpaksa tak apalah,” suara datuk terus lembut. 


Datuk terus menjemput Haji Salim naik ke anjung. Jemputan datuk itu segera ditunaikan. Andang daun kelapa dipadam dan disandarkan pada pangkal tiang. Tanpa dijemput saya datang ke anjung. Duduk bersimpuh dekat datuk. 


“Kita pergi ke kubur lama,” Haji Salim mengemukakan cadangan. 


“Jangan terburu-buru, kita cari,” balas datuk. 


“Di mana kita nak cari, sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa. Sudahlah cucu saudara saya tu tak ada ayah, ada emak lumpuh pula, entah apalah nasibnya,” Haji Salim tunduk merenung lantai. 


Saya jadi hiba. Badan saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa suara katak dan cengkerik bersahut-sahutan. Bunyi burung hantu di hujung dahan jelas kedengaran. 


“Jangan putus asa, mari kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan orang-orang kampung,” datuk renung muka Haji Salim. 


“Orang-orang kampung tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang. Saya tahu ini semua kerja orang yang memuja kubur, mereka dendam dengan saya,” keluh Haji Salim. 


“Sudahlah tu, mari kita ke dewan,” datuk terus bangun meninggalkan ruang anjung. 


Haji Salim juga berbuat demikian. Sampai di halaman, Haji Salim menghidupkan api andang daun kelapa. Datuk terus menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picit. Saya masih lagi berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Apakah saya harus mengikuti mereka atau tinggal bersama nenek di rumah. 


“Kau jangan ikut Tamar,” kata nenek. 


“Ha….saya nak ikut,” saya terus melompat, memburu datuk dan Haji Salim yang berada dalam jarak 30 kaki dari saya. 


Datuk dan Haji Salim tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah dengan rancak. Walau bagaimanapun, mereka tahu saya mengikuti mereka di belakang.


Cahaya obor daun kelapa Haji Salim terus menerangi permukaan jalan, bunga-bunga api dari obor daun kelapa berterbangan di udara ditolak angin malam. Siulan cengkerik dan bunyi katak tidak pernah putus. 


Kami sampai ke dewan, terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh orang kampung yang duduk bertenggek pada bibir simen dan semuanya saya kenal. Beberapa dari mereka menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok daun bertembakau jawa itu membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang kampung yang ada di situ. 


“Kau Daud, duduk dekat rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak itu hilang,” datuk mengajukan pertanyaan pada seorang lelaki yang berbadan kurus. 


“Budak perempuan tu memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak tiba, saya sudah tegur tapi dia tak peduli.”


“Bukan itu, aku nak tahu waktu bila ia hilang Daud.”


“Begini, petang tadi saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik, emaknya menangis dan suruh saya mencarinya.”


“Kau pergi cari?”


“Saya cari tapi tak jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya sia-sia. Kemudian baru saya beritahu Haji Salim,” Daud berhenti bercakap. Wajahnya sedih. 


Dan orang-orang kampung yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu. Mereka terlibat dalam usaha mencari gadis sunti yang hilang itu. Mereka juga memberitahu datuk, mustahil gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana air sungai begitu cetek sekali. Mahu dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang jahat juga tidak masuk di akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung. 


“Ah, semuanya ni perbuatan orang yang memuja kubur,” tiba-tiba Haji Salim bersuara lantang dan bersedia untuk mengeluarkan beberapa ungkapan lagi. 


“Sudah haji, dalam sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan membawa padah buruk pada diri kita,” tingkah datuk. Orang-orang kampung yang ada di situ anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan apa yang datuk katakan itu. 


“Begini saja, kita cari malam ni juga,” datuk mengemukakan cadangan. 


Ternyata tidak semua orang-orang kampung yang ada di situ mahu menerima cadangan datuk. 


“Siapa mahu ikut saya,” tanya datuk lagi. Cuma tiga orang sahaja yang mengangkat tangan tanda setuju, manakala yang lain tidak mengangkat tangan termasuklah Daud, jiran terdekat keluarga gadis sunti yang hilang. 


“Kenapa Daud?” soal Haji Salim. 


“Kerja sia-sia. Susah mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat tadi,” sahut Daud.


“Habis apa yang patut kita lakukan?” Soal Haji Salim.


“Kita cari siang esok, lagi mudah.”


“Tak apalah, siapa yang tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut, bersedia,” datuk mengeluarkan arahan. Kumpulan Daud terus meninggalkan kawasan dewan. 


Bila saya hitung, ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang mahu menyertai kami. Dicampur dengan diri saya, datuk dan Haji Salim, jumlah kami menjadi enam orang sahaja. 


“Kita pecahkan enam orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan, Salleh ikut Haji Salim, Hassan ikut saya.” Datuk mula mengatur gerakan. Saya segera berdiri di belakang Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa. 


“Saya yakin dengan pertolonga Allah yang Maha Besar, budak perempuan yang hilang tu akan kita jumpa juga,” kata datuk lalu mengajak kami pergi ke tebing sungai. 


Ia menyuruh kami mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak perempuan yang hilang itu. 


Seluruh kawasan tempat gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok besar, pokok kecil semuanya kena pijak dan diselongkar. Tidak ada sesuatu kesan pun yang dapat kami temui. 


Haji Salim cacakkan andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas sebatang pokok yang tumbang. Langit waktu itu kelihatan cerah. Gumpalan awan putih bergerak perlahan-lahan arah barat daya. Bulan yang sedang mengecil terus dipagar oleh bintang-bintang yang sedang mengerdip. Embun malam terasa menjamah rambut. 


“Begini, Tamar dan Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki bukit. Haji Salim sama Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir sungai. Saya sama Hassan cari dari seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang,” datuk mengeluarkan aturcara dari pertimbangan akal fikirannya. Tidak ada bantahan. Semuanya berpecah mengikut arahan yang ditetap. 


Saya jadi gementar, usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan enam tahun sahaja. Tidak ada pengalaman. Dan orang-orang yang mengikut datuk dan Haji Salim lebih beruntung lagi. Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak pengalaman, tidak mudah gementar bila berhadapan dengan kecemasan. 


Saya dan Borhan bertengkar kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala. Borhan mahu saya jadi kepala, sedangkan saya keberatan kerana itu merupakan tugas yang berat. Akhirnya Borhan mengalah. 


“Tak apa, kalau kau tak mahu apa boleh buat, marilah,” Borhan terus meredah hutan kecil. 


Saya tersenyum tetapi, saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa. Kami terus meredah hutan. 


Angin malam yang bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa batang ranting kering dan daun kering berjatuhan ke bumi akibat dirempuh angin. Bunyi katak dan cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan anjing liar yang ditingkah oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari makanan. 


Semua lubang, semua perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk. Beberapa ekor katak dan belalang berlompatan, bagaikan marah kerana tempat mereka diganggu. Sesekali, kaki saya terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar merempuh batang leher lalu, menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada kulit tengkuk. Terasa cukup sejuk. 


Tiba-tiba saya tersepakkan sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila saya bergerak, terasa benda lembut itu memaut pergelangan kaki saya. Benda lembut sejuk itu merayap hingga ke buah betis saya. 


Dada saya berdebar, badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas kedengaran. Suara cengkerik dan katak kian bertambah rancak. Angin terus menggugurkan ranting-ranting kering yang bunyinya amat menakutkan. 


“Kenapa berdiri di situ Tamar.”


“Ada…,” saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus menggeletar. Malam yang dingin terasa panas hingga memercikkan peluh-peluh halus di dahi. 


“Kenapa muka kamu pucat Tamar?”


“Ahhh..Ahhh ada…,” mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu terus meraba buah betis saya. 


Melihat saya dalam keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan terus merampas obor dari tangan saya. Ia terus menyuluh ke arah rumpun lalang. Biji mata Borhan terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak tidak tentu arah menurut getaran tangannya. 


“Mayat Tamar,” suara Borhan separuh menjerit. Mukanya kelihatan berubah. Mujurlah, rasa cemas itu sekejap saja menguasai dirinya. Beberapa minit kemudian, ia kembali tenang. Ia menarik tangan saya dari rumpun lalang. Saya angkat kaki kanan tetapi tidak berdaya. Kaki saya bagaikan ditarik oleh sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa mula merayap dari buah betis menurun ke buku lali. 


“Mayat pegang aku Borhan.”


“Nanti aku lepaskan.”


Borhan pacakkan atas bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat seorang gadis terlentang. Biji matanya terbeliak, mulutnya ternganga, penuh dengan darah beku. Rambutnya mengerbang. 


Perkara yang benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat jari jemari mayat itu memaut pergelangan kaki saya. Macam diarahkan oleh sesuatu untuk berbuat demikian. Dengan ekor mata saya menjeling ke arah jari-jemari mayat dan kaki kanan saya. 


Rupa-rupanya telapak kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu. Tidak hairanlah bila saya menggerakkan kaki, tangan dan jari-jemarinya turut sama bergerak. Biji matanya yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada mayat tersebut memang menakutkan. 


Saya rasa matanya bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati. Kakinya terkangkang keras. Kain batik lusuh yang dipakainya terselak hingga ke pangkal paha dan baju kebayangan pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada perlawanan antara orang yang menyerang dengan mangsanya. 


Borhan terus menatap mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah matanya dengan telapak tangan. 


“Mayat tu bergerak,” katanya. 


“Bergerak,” pekik saya lalu membuka langkah seribu. 


Habis pokok besar dan kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit pun. Melihat saya lari, Borhan juga ikut lari lintang pukang di malam yang gelap melanggar apa sahaja yang menghalang. 


Anehnya, kami sampai serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak dapat berkata apa-apa, cuma tercungap-cungap macam ikan kekurangan air. 


Tidak sampai lima minit kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh dan datuk pun tiba. Mereka tercengang melihat kami tercungap-cungap dengan wajah yang pucat. 


“Ada orang jumpa?” tanya datuk.


“Adaa…,” jawab Borhan sambil menyandarkan badannya pada saya. Tiba-tiba ia terus rebah. Haji Salim terus mendekatinya. 


“Pengsan,” kata Haji Salim. 


Semua yang ada di situ segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya, Borhan pulih dari pengsan. Datuk memberikan rawatan dengan secukupnya pada Borhan. Mukanya yang pucat lesi, kembali merah. 


“Apa yang kau jumpa Borhan?” Datuk terus menyoal Borhan. Tangan datuk terus memicit setiap sendi tubuh Borhan. Air embun yang gugur terus menyentuh rambut kami. Dua tiga orang menguap panjang. 


“Cucu saudara Haji Salim, si Timah sudah mati,” suara Borhan lemah. Haji Salim terus termenung panjang. Matanya merenung pokok-pokok hutan yang tegak kaki di malam yang dingin. 


Lolongan anjing sudah tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung hantu dan jampuk. Bunyi katak dan cengkerik tetap hebat macam tadi. 


Datuk dan Haji Salim mengadakan rundingan. Kemudian datuk minta saya dan Borhan menunjukkan rumpun lalang tempat mayat itu dijumpai. Kali ini saya jadi kepala jalan. Saya tidak merasa takut atau gentar kerana ada datuk dan Haji Salim. 


Kami sampai ke rumpun lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu saudaranya yang sudah kaku. Usianya sekitar tiga belas tahun. Datuk merenung mayat gadis malang itu dengan tenang. 


“Lidahnya dipotong orang,” beritahu datuk pada Haji Salim. 


“Memang tak salah agakan saya.”


“Kita berusaha mencari orang yang membuat kerja laknat itu.”


“Ya, kematian cucu saudara saya harus dibalas,” nada suara Haji Salim keras. 


Saya, Hassan, Salleh dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang dikatakan oleh datuk dan Haji Salim. Ketika mayat itu berada di pangkuan Haji Salim, saya tidak berani merenungnya. 


Mayat gadis sunti yang malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di ruang depan. Siang esok mayat gadis malang itu akan diuruskan pengkebumiannya, begitu mengikut rancangan Haji Salim yang disampaikan pada datuk. 


Lebih kurang pukul empat pagi, saya dan datuk meninggalkan rumah ibu gadis yang malang itu. Haji Salim terus membaca Quran dekat cucu saudaranya. 


“Biar kami balik dulu Haji,” kata datuk pada Haji Salim. Waktu itu, sudah pukul empat pagi, bintang timur sudah pun muncul di kaki langit. Udara terasa bertambah dingin.


“Tak apalah, esok datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan pagi,”jawab Haji Salim pendek. Ia terus membaca Quran dekat jenazah cucu saudaranya. Saya dan datuk meninggalkan rumah gadis sinti yang malang.


                                            TANAM


Sudah dua mingu , jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Parit. Saya masih ingat, waktu orang-orang kampung meratakan tanah kubur, kira-kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik, matahari memancar keras.


Tanpa diduga oleh sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan turun dengan selebatnya. Pakaian ornag kampung yang ada di situ semuanya basah kuyup. Beberapa orang kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu orang menanam jenazah membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih hidup. 


Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box