SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN

Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing. Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah. Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak. Sepanjang musim tengkujuh kesihatan datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan. Walaupun begitu, datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.


Dan amalan meminum air dingin satu tem¬purung yang sudah diembun selama satu malam tetap diteruskannya. Menurut datuk air dingin itu mesti diminum sebelum sarapan pagi. Khasiatnya, dapat melancarkan perjalanan darah serta membersihkan perut. Air dingin itu juga dapat menegangkan kulit, bagi orang yang mengamalkannya akan kelihatan muda. Datuk juga memberitahu saya, tempurung yang dijadikan bekas air dingin itu dipilih dari kelapa masak yang gugur sendiri. Tempurung dari kelapa itu dibelah serta di jemur hingga isinya lekang sendiri. Bahagian tempurung yang tidak digunakan itu ditanam di pangkal pokok kelapa itu. Tempurung yang dijadikan bekas minuman itu ialah bahagian bawah. Bila sudah cukup kering, tempurung itu dibersihkan serta dikilatkan dengan serpihan kaca dan di jemur kembali selama tujuh hari berturut-turut. Kemudian baru dijadikan bekas minuman. Setiap kali datuk mahu meminum air dingin dalam tempurung itu, dia mesti membaca Al-Fatihah sebanyak tujuh kali dalam masa senafas.


Dan saya, hingga kini tidak dapat mengamalkan petua-petua tersebut dise¬babkan oleh beberapa hal yang tertentu.


Pada suatu pagi , selepas datuk melakukan senaman dia terus berehat di ruang rumah. Ketika itu nenek menghampirinya.


"Bagaimana? Bila kita nak pergi ke Tanjung Ara?", soal nenek.


"Untuk apa?"


"Dah lupa? Jemputan kahwin anak Alang Botak”


"Tak lupa. Bukankah jemputan tu esok, esoklah kita pergi”


"Awak ni merepek. Bukankah saya dengan Alang Botak itu adik-beradik, kami sepupu. Tidak baik pergi kenduri-kendara rumah adik-beradik untuk makan aje. Kita harus pergi awal, boleh tolong tegakkan balai, siapkan tempat orang makan”, nenek mula bersyarah di hadapan datuk. Saya lihat datuk tersenyum dan mengangkat ke dua belah tangannya ke atas, macam komunis menyerah diri pada pasukan askar Melayu.


"Saya salah. Awak betul, kerana itu saya ikut cakap awak”, kata datuk sambil berjenaka.


Nenek ketawa keciI. Begitulah sikap datuk dengan nenek. Saling bertolak ansur. Datuk tidak segan-silu menurut kata nenek, kalau kata-¬kata itu baik dan benar. Datuk akan menentang berhabis-habisan kalau pendapat atau fikiran nenek tidak menguntungkan. Mereka bertengkar dan bermasam muka untuk mencari kebenaran bagi mencipta suasana rumah tangga yang kekal tanpa mahu mencari perkelahian yang mengakibatkan rumahtangga berada dalam kegentingan yang berakhir pada sebuah jurang pemisahan. Barangkali inilah rahsia kebahagian dan keda¬maian rumahtangga datuk dan nenek.


Dan saya sering bertanya dalam diri saya, apakah dalam hidup saya kelak, saya akan menemui seorang isteri sebaik dan semulia hati nenek? Apakah saya dapat menjadi lelaki seperti datuk yang sanggup menghilangkan rasa ego seorang suami di mata seorang isteri demi kerukunan rumah tangga.


"Entahlah… Begini saja, kita pergi sejam lagi. Sementara itu eloklah awak berkemas, bawalah gula barang sekati dua, kelapa sepuluh atau dua puluh biji dan pisang dua tiga tandan”, kata datuk.


Nenek bagaikan terkejut.


"Awak ni bergurau atau cakap betul-betul”, tanya nenek sambiI menge¬rutkan keningnya. Datuk terus mempamirkan giginya.


"Saya cakap betul, kita tolong mereka dengan apa yang ada pada kita”


"Nak bawa barang-barang tu dengan bas? Susah jadinya. Itulah ada kereta awak tak mahu baiki, seka¬rang siapa susah”, rungut nenek.


"Sama-sama susah”, jawab datuk.


Nenek dan saya terus ketawa. Bila ketawa saya dan nenek bera¬khir, datuk masih lagi tersengih.


"Begini saja. Awak dengan Tamar pergi naik bas dulu, barang-barang tu biar saya bawa kemudian, saya juga nak bawa kambing untuk Alang Botak”


"Ini dah cukup baik”, balas nenek yang kemudian menggesa saya menukar pakaian. Saya tukar pakaian dan nenek terus menge¬maskan pakaian lalu dimasukkan ke dalam beg rotan empat segi. Saya diberi tugas tertentu oleh nenek iaitu memikul beras sebanyak empat gantang yang diisikan dalam guni gandum. Bagi nenek, beras empat gantang itu sebagai tanda buah tangan untuk keluarganya di Tanjung Ara.


"Bila awak nak bertolak?", soal nenek pada datuk di kepala tangga.


Datuk menggigit bibir sambil memetik ibu jari kirinya. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke arah anak bukit yang letaknya tidak jauh dari rumah.


"Awak jalanlah dulu, saya tetap sampai”, suara datuk penuh keyakinan.


Saya dan nenek pun berangkat dari rumah.


Ketika berada dalam perut bas, hati saya cukup gembira kerana nenek tidak putus-putus menjamu saya dengan kuih-kuih yang dibelinya di perhentian bas. Apa saja yang saya minta nenek tunaikan. Nenek saya lihat cukup gembira sekali, maklumlah dia mahu bertemu dengan kaum keluarganya di Tanjung Ara. Dalam perut bas itu juga, pertama kali nenek membuka rahsia asal keturu¬nannya. Menurut nenek, keturunannya berasal dari Bugis yang berhijrah ke Johor, dari Johor berpindah ke lembah Sungai Kelang, Selangor, yang kemudian terlibat dalam peperangan saudara di Selangor.


Dari Selangor mereka berhijrah ke Perak membantu Sultan Muzaffar Shah yang bersengketa dengan adiknya. Sultan Muzaffar Shah yang di bantu oleh orang-orang Bugis menang, lalu ditabalkan jadi Sultan Perak. Salah seorang keluarga nenek menjadi ayam tambatan pada Sultan Perak pada masa itu. Sayangnya nenek tidak menyatakan pada saya siapa nama keluarganya yang menjadi pahlawan terbilang itu.


"Kaum kerabat nenek masih terdapat di Johor terutama di daerah Batu Pahat. Di Selangor pula di kawasan Jeram dan Permatang. Tetapi moyang nenek memilih Tanjung Ara sebagai tempat bernaung, setelah berperahu dari Kuala Dinding ke sini”, kata nenek dengan megah.


Saya anggukkan kepala kerana saya tahu, tidak mungkin saya dapat me¬nyusur jejak-jejak keturunan nenek yang sudah begitu lama. Bas yang kami naiki sampai di pekan kecil Pengkalan Bharu. Dari situ, saya dan nenek terpaksa berjalan kaki melintasi satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok kemunting (kemuning) serta rerumput yang berdaun merah.


Kata nenek, kawasan lapang itu disebut Padang Antah Berantah dan men¬jadi medan pertempuran angkatan Raja Shamsul Baharin menentang angkatan Raja Champa (Kemboja). Dalam pertempuran itu Raja Shamsul Baharin me¬mang, seluruh Padang Antah Berantah dipenuhi dengan darah-darah pahlawan Champa. Kesan daripada peperangan itu, rumput-rumput yang tumbuh di situ jadi merah begitu juga dengan pasirnya (sekarang kawasan tersebut sudah dita¬nam dengan pokok kelapa). Saya tidak dapat memastikan sama ada cerita itu benar atau tidak. Kerana nenek hanya memperolehi cerita itu dari mulut ke mulut cuma.


Memikul empat gantang beras dengan berjalan kaki sejauh hampir dua batu memang memenatkan, badan saya jadi berpeluh. Bagi menghilangkan rasa penat dan bosan pada diri saya, nenek terus bercerita kisah-kisah lalu yang menggerunkan, dan kadang-kadang melucukan. Saya jadi terhibur di bawah panahan matahari yang amat terik.


Ketika saya dan nenek mahu menyeberang di atas jambatan, saya ter¬lihat pokok keduduk dan petai cina di sebelah kiri bergoyang-goyang. Nenek suruh saya berhenti. Saya segera menoleh ke kiri, saya dapati datuk berdiri di situ menarik seekor kambing. Dua tandan pisang dan dua puluh biji kelapa berada di sebelah kanan. Ma¬nakala di tangannya tergantung bungkusan gula.


"Cepat awak sampai”, kata nenek.


"Kawan kita menghantarnya”, jawab datuk. Ketika itu juga saya terlihat ekor harimau dari celah-celah rumput keduduk dan petai cina.


"Baliklah”, kata datuk dan ekor harimau itu hilang dari penglihatan saya. Saya faham apa yang sudah berlaku.


"Begini. Awak tunggu di sini, biar saya jalan dulu. Kemudian saya suruh anak Alang Botak me¬ngambil barang yang awak bawa ini dengan basi¬kal”, nenek mengeluarkan cadangan.


Datuk termenung seenak, bila senyum berakhir dia kerutkan kening luasnya sambil merenung ke arah rumah Alang Botak yang berada di seberang sana.


"Kita pergi bersama”, balas datuk.


"Barang-barang ni macam mana?"


"Kita tinggalkan di sini dulu, sementara menanti anak Alang Botak me¬ngambilnya”


"Nanti hilang pula”


"Ah, tak usah takutlah tidak ada siapa yang mahu mencurinya”, jawab da¬tuk.


Nenek terdiam. Beberapa saat kemudian kami pun melangkah serentak. Alang Botak menyambut kami dengan penuh keriangan. Alang Botak dengan datuk berpeluk-pelukan. Ketika berpeluk-pelukan itulah datuk sempat membisikkan sesuatu ke telinga Alang Botak. Bila selesai berpeluk, Alang Botak terus memerintahkan salah seorang anaknya supaya mengambil barang-barang di kepala jambatan.


Dengan di temani oleh Alang Botak, datuk berkesempatan menemui tukang-¬tukang masak dibelakang rumah, menemui tukang buat balai di hadapan rumah serta menemui orang yang sedang menegakkan tiang pelantar tempat mele¬takkan gelas dan balang air. Semuanya bekerja dengan tekun di bawah semangat gotong-royong. Kerana datuk memang pandai dan tahu dalam hal masak-memasak datuk mencampurkan dirinya dengan tukang-tukang masak di kampung itu. Saya di¬arah oleh datuk untuk memotong bawang dan halia. Berpeluh dahi dan meleleh air mata saya membuat kerja-kerja itu. Sedang kami asyik dengan tugas¬tugas yang dijalankan kami dikejutkan dengan suara jeritan dari arah tebing sungai. Semua orang yang berada dibahagian belakang rumah segera bangun.


"Agaknya ada orang ditangkap buaya”, kata seorang lelaki berkulit hitam yang berdiri di sebelah datuk.


Belum pun sempat datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki itu, seorang perempuan setengah umur berlari ke arah kami.


"Tolong, tolong anak saya disambar buaya”, kata perempuan itu dengan wajah cemas. Dia mula menangis, rambutnya kelihatan mengerbang.


"Di mana?" tanya datuk.


"Di tepi sungai”


"Mari “, kata datuk dan orang-orang yang berada di situ segera mengikut datuk menuju ke tebing sungai.


Bila sampai di tebing sungai, orang ramai sudah pun berkumpul di situ, ada yang membawa parang. Ada yang membawa lembing dan senapang kampung masing-masing mahu membunuh buaya, tetapi buaya yang mahu dibunuh tidak kelihatan. Datuk tidak mempedulikan mereka yang sedang marah itu. Datuk terus duduk bersimpuh di tepi tebing. Datuk mengambil segenggam tanah lalu di¬campakkannya ke dalam Sungai Tanjung Ara yang mengalir tenang. Di tempat tanah itu jatuh, air sungai kelihatan berbuih macam air yang sedang mendidih.


Tiba-tiba seekor buaya muncul, bagaikan kilat buaya itu melibaskan ekor¬nya ke arah datuk. Nasib baik datuk sempat mengelak dan buaya itu terus menyelam. Belum pun sempat datuk duduk kembali, buaya itu muncul semula di permukaan sungai lalu melibaskan ekornya yang panjang itu ke tebing sungai. Libasan dari ekor buaya itu mengenai salah seorang penduduk Kampung Tanjung Ara yang berdiri dekat datuk. Lelaki malang itu terhumban ke dalam air dan bagaikan kilat rahang buaya itu menyambut tubuh badan lelaki itu, lalu lelaki dan buaya itu ghaib dari permukaan sungai mula bergelombang.


Orang ramai yang tadi begitu ghairah mahu membunuh buaya jadi terpaku dan setengah daripada mereka berundur jauh dari tebing sungai. Datuk mula kelihatan resah tidak menentu. Bajunya mula dibasahi peluh dan mukanya kelihatan merah padam dipanah cahaya matahari pukul tiga petang yang cukup terik. Saya perhatikan datuk bagaikan hilang matlamat dan keyakinan pada diri sendiri. Dia lalu merenung ke tebing seberang sana yang penuh dengan tum¬buhan pokok-pokok keladi dan mengkuang liar. Hujung daun mengkuang men¬cecah permukaan air sungai. Dalam saat-saat yang amat genting itu, buaya ganas tadi muncul sambil menjulang mangsanya tinggi dari paras permukaan air sungai. Tangan dan kaki lelaki itu terkapai¬-kapai macam katak puru di mulut ulat.


Gigi-gigi buaya yang tajam itu terus terbe¬nam di badan lelaki itu. Darah kelihatan memancut ke luar. Datuk saya lihat sudah hilang sabarnya. Datuk terus bertempik dengan sekuat hatinya sambil terjun ke dalam sungai. Datuk terus memeluk badan buaya itu dengan sekuat hatinya. Dengan menggunakan jari kelingkingnya datuk menujah mata buaya itu. Buaya itu terus mengelupar dan air sungai terus bergelom-bang. Buaya itu terus menghempaskan badannya. Tetapi pelukan datuk tetap kemas dan jarinya terus menujah mata buaya. Mungkin kerana terasa amat sakit, buaya itu membuka rahangnya hingga badan lelaki itu terlepas darinya. Datuk berhenti memeluk buaya itu lalu me¬nyambar badan lelaki itu dan terus dibawa ke tepi tebing.


Dan buaya ganas itu terus hilang di permukaan air sungai. Orang-orang kampung yang berada di situ terus menyambut batang tubuh lelaki tersebut dan dibaringkan ke atas tanah. Datuk pun mengesat darah di badan lelaki malang itu. Saya di suruh oleh datuk memetik dedaun hijau dari pokok pulai penipu bukit untuk dijadikan ubat penahan darah. Lelaki itupun sedar dari pengsan. Dia tidak berdaya mahu bangun. Cepat-cepat datuk membetulkan urat belikat dan urat tangan lelaki itu. Datuk meminta orang-orang kampung yang mengerumun lelaki malang itu supaya beredar agak jauh sedikit. Cakap datuk mereka patuhi. Seluruh badan lelaki itu datuk raba dengan belakang tangan.


Semua biji mata orang yang berdiri di tepi tebing bagaikan terbeliak bila mereka melihat air Sungai Tanjung Ara bergelombang dan keruh. Pokok¬-pokok keladi dan mengkuang kelihatan bergoyang-goyang kembali. Bila gelombang air sungai berakhir, dua ekor buaya timbul di permukaan air, berpusing-pusing di tengah-tengah sungai sambil melibas-libaskan ekor masing-masing pada air Sungai Tanjung Ara. Percikan air itu menjulang ke udara dan jatuh kembali atas permukaan air sungai. Pancaran matahari yang keras terus menikam pada gelombang air sungai akibat dari libasan ekor buaya itu. Pancaran tikaman matahari itu menimbulkan satu cahaya yang kilau kemilau, bagaikan cahaya berlian di suluh dengan lampu picit. Orang-orang kampung terpegun melihat kelakuan dua ekor buaya itu. Tanpa di duga, dengan cara yang mendadak sekali, kedua-¬dua ekor buaya itu meluru ke tepi lalu memanjat tebing sungai.


“Berundur “, kata datuk pada orang ramai.


Mereka pun berundur dan ke¬dua-dua buaya itu terus merangkak, sambil memanggungkan kepalanya melihat ke kiri dan ke kanan, macam biawak mahu menangkap anak ayam. Datuk masih lagi kelihatan resah gelisah.


"Biarkan orang itu di situ, saya mahu umpankan buaya”, suara datuk keras melarang orang yang mahu mengangkat lelaki malang itu ke tempat lain.


Sikap datuk itu menimbulkan kemarahan seorang lelaki lain yang berbadan tegap. Melihatkan bentuk tubuh lelaki itu, ternyata dia bukanlah orang Melayu tulin. Dalam badannya itu mengalir darah campuran Melayu dan Pakistan. ltulah tanggapan saya pada lelaki itu.


"Awak mahu memperjudikan nyawa orang. Kalau awak tidak ubah anak saudara saya ni ke tempat lain, awak saya tembak sampai mati”, lelaki yang naik darah itu menghalakan muncung senapang kampung ke arah datuk. Datuk tersenyum.


"Saya tetap patuh dengan apa yang saya kata. Kalau awak nak berkeras saya bersedia menerimanya”, jawab datuk.


"Binatang”, jerit lelaki itu sambil menarik pemetik senapang. Lelaki itu jadi cemas, senapangnya tidak mengeluarkan sebarang bunyi, kecuali muncung senapangnya berasap.


"Awak berundur dari sini, sebelum saya bertindak”, kata datuk sambil mengesat peluh di pangkal kening kirinya dengan tapak tangan kanan. Lelaki itu bagaikan terpukau, menurut saja perintah datuk.


Kedua-dua ekor buaya itu terus mara ke arah lelaki malang yang terkapar di atas tanah. Air mata lelaki malang itu meleleh dipipi. Datuk terus memberi semangat padanya supaya bertenang. Datuk tidak akan menyerahkan tubuh badannya untuk dikoyak-koyak oleh buaya ganas dengan begitu saja. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki kedua-dua buaya itu mahu meng¬hampiri lelaki malang itu, datuk segera melompat dan berdiri di tengah-¬tengah. Melihat perbuatan datuk itu, kedua-dua ekor buaya itu jadi marah lalu membuka mulut dengan seluas-Iuasnya. Datuk sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


Kedua belah tangan datuk terus memeluk tubuh, matanya tepat menikam ke arah kedua-dua ekor ma¬ta buaya itu. Tumit kiri datuk tekankan ke bumi hingga terbenam separas buku lali. Datuk membongkok lalu menghentakkan pangkal siku kanan ke tanah. Datuk terus duduk mencangkung dengan mene¬kan kepala lutut kiri ke bumi dan kepala lutut kanan¬nya bertemu dengan dagu. Kedua-dua ekor buaya itu merapatkan kembali mulutnya dan cuba mahu merangkak, ternyata buaya itu tidak boleh bergerak. Datuk sudah pun menguncikan sendi-sendi kaki buaya itu.


"Tutup mulut kamu”, saya terdengar suara datuk dan kedua-dua ekor buaya itu merapatkan mulutnya. Datuk segera bangun sambil memeluk tubuh, kedua belah kakinya di kangkangnya sedikit.


"Sekarang kau kembali ke lubuk kamu dan pulangkan mayat anak cucu aku yang kau binasakan itu”, kata datuk dengan lantang.


Datuk terus melompat se¬tinggi empat kaki dari paras bumi. Bila kaki datuk menyentuh bumi, kedua-¬dua ekor buaya itu masih terpukau lagi ditempatnya. Datuk lalu memerintahkan orang-orang kampung itu mengusung lelaki malang ke rumahnya. Perintah datuk segera dipatuhi. Datuk kembali berdiri di hadapan kedua-dua ekor buaya itu.


"Pulang, kataku pulang”, sergah datuk lagi dan buaya-buaya itu bagaikan baru tersedar dari tidur. Segera berpusing lalu terjun ke dalam sungai dan air sungai kembali bergelombang yang airnya memukul tebing. Tanah tebing yang tidak kuat terus runtuh ke dalam sungai dan menimbulkan buih-buih yang kecil sebelum bersatu dengan air sungai. Matahari yang sejak tadi bersinar dengan terik, mula beransur redup. Gumpalan awan hitam yang tebal mula melindungi matahari.


Orang-orang kampung yang tadi begitu ramai berdiri di tebing mula beransur kurang. Kebanyakan daripada mereka pergi ke rumah lelaki yang malang itu. Angin pun mula bertiup menggoyangkan dedaun pokok di bibir tebing. Datuk membuka baju. Baju itu diikatkan ke pinggangnya. Datuk duduk bersila di tepi tebing dengan kedua belah tangannya terletak di atas kedua tempurung lutut. Datuk bertafakur di situ sambil membaca sesuatu. Datuk berdiri tanpa membuka tangan yang memeluk tubuhnya.


"Pulangkan cucuku”, kata datuk. Serentak dengan itu, seekor buaya timbul di muncungnya terpanggang tubuh seorang kanak-kanak lelaki dalam usia empat belas tahun. Buaya itu meletakkan tubuh budak lelaki yang sudah menjadi mayat itu di bibir tebing. Cepat-cepat datuk mengambil mayat budak lelaki itu, lalu di serahkan pada orang-orang kampung yang masih berada di situ. Mereka pun membawa mayat budak lelaki itu ke rumah ibunya. Dan buaya yang menyerahkan mayat budak itu terus hilang dari penglihatan saya dan datuk.


Sebagai tanda yang tugasnya sudah selesai, lagi sekali datuk mengepal tanah dan mencampakkan ke dalam sungai. Bila tanah itu bertemu dengan air sungai, dengan sekelip mata saja timbul berpuluh-puluh ekor buaya di per¬mukaan air Sungai Tanjung Ara, buaya-buaya itu mempamirkan badan masing¬-masing sambil melibas-libaskan ekornya pada permukaan air sungai. Melihat keadaan yang ganjil itu, wajah datuk segera berubah menjadi cemas tidak menentu. Dia merenung muka saya.


"Sebenarnya, ada orang tertentu yang menaikkan semangat buaya, itu supaya menjadi ganas”, kata datuk sambil menarik tangan saya pulang ke rumah Alang Botak. Petang itu juga mayat budak lelaki yang jadi korban buaya dikebumikan.


Dan lelaki malang itu terus menerima rawatan dari datuk. Sebelum men¬jelang waktu Maghrib lelaki malang itu kembali sihat dan terus membantu kerja-kerja kenduri-kenduri di rumah Alang Botak. Sepanjang malam itu o¬rang-orang yang berada di rumah Alang terus memperkatakan tentang peristiwa yang berlaku pada sebelah siang tadi.


Sesungguhnya, peristiwa yang terjadi itu mencatatkan kemeriahan suasana kenduri di rumah Alang Botak yang kemuncaknya akan berlangsung pada esok¬nya. Bagi menjaga keselamatan diri orang ramai, pengumuman segera dike¬luarkan oleh ketua kampung, yang menasihatkan orang-orang kampung supaya jangan mandi di sungai.


Malah, anak lelaki Alang Botak yang bakal jadi raja sehari itu dilarang sama sekali melintas di atas jambatan, begitu juga dengan pibak pengantin perempuan. Hari itu, adalah kemuncak segala kemeriahan di rumah Alang Botak. Pagi-pagi rumahnya sudah dikunjungi orang ramai. Kira-kira pukul sepuluh pagi, macam-macam permainan diadakan di balai yang dimulai dengan silat, tarian zapin dan permainan dabus. Kira-kira pukul dua belas tengahari, kampung kecil itu menjadi gempar kerana ada orang yang mengingkari pesanan ketua kampung, akibatnya dua orang sudah menjadi mangsa buaya. Pukul satu tepat, tiga orang lagi menjadi korban buaya.


Buaya-buaya di Sungai Tanjung Ara mula mengamuk. Siapa saja yang ber¬diri di tebing akan akan terus di libas oleh buaya-buaya itu dengan ekornya. Datuk sudah tidak mampu mengatasi masalah itu. Dia mengaku, ilmu dunia yang ada pada dirinya tidak boleh mengalahkan buaya-buaya tersebut. Dengan bantuan orang-orang kampung, tebing sungai itu lalu dipagari de¬ngan kawat berduri. Apa yang terjadi tidak mengganggu-gugat rancangan yang sudah di atur. Acara persandingan terus dijalankan. Bila acara persandi¬ngan itu tamat, satu mesyuarat kecil telah diadakan di halaman rumah Alang Botak untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang sedang di hadapi.


Dalam mesyuarat itu orang-orang kampung meminta datuk menggunakan kebolehannya untuk menghalau buaya-buaya ganas tersebut. Datuk tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Menurut datuk, kebolehan yang ada pada dirinya masih belum cukup unutk menjinakkan buaya-buaya ganas itu. Kejujuran yang datuk tunjukkan tidak dapat diterima oleh orang-orang kampung.


"Kamu sudah membuktikan di depan mata kami, usahlah kamu berdalih. Agaknya kamu yang memuja buaya-buaya tu supaya menjadi ganas. Sebelum kamu datang buaya-buaya itu tidak mengacau kami”, seorang lebai muda menghujah datuk di hadapan orang ramai.


Pendapat lebai muda itu mendapat sokongan sebagaian besar dari orang-¬orang kampung. Datuk berada dalam suasana yang serba salah.


"Apa yang saya lakukan semalam, sekadar mendapatkan mayat budak itu. Dari percubaan pertama itu saya dapat mengesan yang buaya-buaya itu diarah oleh orang-orang tertentu yang dapat mempengaruhi buaya supaya menganas”, datuk memberi penjelasan dalam percubaan membersihkan nama dan dirinya.


"Mungkin di antara buaya-buaya itu, ada buaya jadi-jadian”, tambah datuk.


Orang ramai terdiam sejenak, mereka berpandangan sarna sendiri dan berbisik -bisik. Lebai muda yang berkulit cerah bangun lagi. Keadaannya lebih bersopan santun dari tadi. Dia memperkenalkan dirinya.


"Maafkan saya, kalau perbuatan saya tadi menyakitkan hati tuan, nama saya Kamaruddin dan saya bekas anggota tentera laut dan sekarang membuat kerja menangkap udang di Sungai Tanjung Ara ni, apakah yang patut kita lakukan sekarang?"


Datuk merenung muka lebai muda itu sejenak. Datuk merasakan lebai muda itu memang jujur orangnya. Tidak berdolak-dalik atau mahu menguji datuk, dia bercakap apa yang difikirkannya patut dicakapkan, sesuai dengan keadaan dirinya yang baru berusia lebih kurang empat puluh tahun.


"Kita cari pawang buaya yang handal”, kata datuk.


"Kalau begitu kita panggil Saadun Juling”, jawab salah seorang penduduk kampung.


"Dia tu tinggal di mana?", lebai muda bertanya.


"Di Sungai Rotan”, jawab orang yang mengeluarkan cadangan.


"Saya setuju dan saya boleh membantunya”, datuk memberikan pengakuan.


Kata sepakat pun di buat. Beberapa orang penduduk kampung Tanjung Ara disuruh pergi ke Sungai Rotan menjemput Saadun Juling. Permintaan itu tidak dihampakan oleh Saadun Juling. Dua hari kemudian, pawang buaya itu sudah pun berada di Tanjung Ara. Datuk terus mendam¬pinginya. Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung, dia tidak dapat melakukan kerjanya dengan secepat mungkin. Dia perlu mengambil masa kira-¬kira tiga minggu.


Selama dia menjalankan tugasnya itu, dia minta orang-orang kampung menanggung makan minum dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, antaranya orang-orang kampung dilarang berjalan malam, kecuali dirinya. Seminggu sudah berlalu Saadun Juling hanya asyik berjalan di sepanjang tebing sungai. Kadang-kadang dia menyorok di balik pokok besar mengintai perempuan mandi dan membasuh kain disungai. Ada kalanya, dia berdiri di tebing sungai bercakap dengan air.


Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, sejak Saadun Juling berada di Tanjung Ara, buaya-buaya suIit untuk dilihat. Tidak lagi mengganggu orang-orang kampung yang mandi di sungai. O¬rang-orang yang bekerja menangkap udang galah mendapat hasil yang berlipat ganda. Hal ini meyakinkan orang-orang kampung yang Saadun Juling itu seorang pawang buaya yang handal. Masuk minggu yang kedua, seorang suami di kampung itu mengadu pada datuk secara suIit-suIit tentang isterinya yang telah berjaya dipujuk rayu oleh pawang buaya hingga melakukan hubungan suIit. Dan si suami tidak dapat berbuat apa-apa, setiap kali dia memandang atau berhadapan dengan pawang buaya untuk mempersoalkan kedudukan yang sebenar, dia jadi kasihan dan berasa takut yang tidak bersebab. Si suami cuba membentangkan masalah dirinya pada orang-orang kampung, mereka tidak dapat menerima lalu menuduh si suami itu berniat jahat terhadap pawang buaya yang mahu mengembalikan suasana aman di Tanjung Ara.


"Masa bila dia membuat hubungan sulit tu?", tanya datuk pada si suami.


"Malam”


"Waktu tu, kau berada di mana?"


"Dirumah?"


"Kenapa kau tidak bertindak?"


"Saya macam kena pukau. Tidak boleh bangun dari tempat tidur dan tidak boleh bersuara”


Datuk terdiam mendengar cakap si suami itu. Ada rasa simpati terpamir di wajah datuk.


"Kau bersabar, jangan bertindak terburu-buru. Jika perkara ini benar aku akan menolong kau. Aku tidak mahu perkara maksiat terjadi di sini. Kerja-¬kerja yang didorong oleh syaitan harus kita tentang”


"Macam mana nak menentangnya?"


"Kau berjanji jangan beritahu sesiapa apa yang mahu aku lakukan”


"Saya berjanji”


"Pawang tu tinggal di surau. Malam ni aku nak mengintip gerak gerinya”


"Awak akan binasa, kalau melanggar pantangnya”


"Allah lebih berkuasa darinya. Allah memberkati kerja-kerja yang baik dan jujur. Allah mengeji perbuatan zina. Kalau kita tidak menegakkan kebena¬ran, Allah akan mendakwa kita di akhirat kelak, kerana kita tahu perbuatan itu ditegah oleh Allah”


"Saya faham”


"Kau pulanglah dulu”, kata datuk, si suami itu terus pulang.


Pertemuan datuk dengan si suami itu tidak diketahui oleh sesiapa, walaupun pertemuan itu diadakan di rumah Alang Botak. Dan Alang Botak menganggap pertemuan itu adalah pertemuan biasa. 


Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box