SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU

“Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong me¬nolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia.”


Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada datuk. Rupa-rupanya datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur. Saya tahu benar-benar, bila datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya. Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang. Saya tidak tahu bagaimana datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.


"Tamar."


"Ya Tuk."


"Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi"


"Kasihan nenek tuk, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung."


"Sabarlah”, kata datuk dengan tenang.


Rupanya percakapan saya dengan datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu. Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.


"Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?", tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah datuk. Saya renung muka datuk.


"Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin. Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi ... “, datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar. Dua tiga kali datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.


"Cuba jelaskan biar saya faham?”, desak lelaki itu. "Kalau dibuat juga dengan tidak mengenali Allah, orang yang melakukannya akan dikuasai syaitan."


"Hum “, begitu suara lelaki itu pendek dan membayangkan dia faham dengan apa yang dikatakan oleh datuk itu.


Akhirnya kami pun sampai di pekan Sungkai. Dari situ, datuk dan saya menyewa sebuah teksi terus ke Ipoh. Lebih kurang pukul empat petang saya dan datuk sampai ke kampung. Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sampai ke rumah ialah menuju ke bilik nenek. Saya lihat nenek terbaring dengan tubuhnya berselimut dengan kain batik Jawa.


“Tamar.”


“Ya nek.”


“Tolong picit kan kaki nenek.”


“Baik nek.”


Saya pun terus memicit kedua belah kaki nenek yang sejuk itu. Menurut nenek, sebelum dia menumbuk padi tadi, demamnya tidaklah berapa terus. Tetapi, setelah lima gantang padi selesai ditumbuk seluruh sendinya terasa sakit.


“Kenapa nek tak hantar padi ke kilang?”, tanya saya.


“Memang turun temurun kita tumbuk pagi, belum pernah kita menghantar ke kilang. Padi yang sudah di kilang rasanya tak sedap. Khasiatnya banyak yang kurang”, jelas nenek.


Saya pun tidak mengemukakan sebarang pertanyaan padanya. Dan terus memicit seluruh tubuh nenek. Kira-kira setengah jam kemudian, datuk datang membawa sebiji kelapa muda dan beberapa helai daun sirih. Datuk menyuruh nenek bangun. Datuk masukkan tiga helai daun sirih ke dalam perut kelapa muda yang sudah ditebuk. Dibiarkan daun sirih terendam dalam air kelapa kira-kira sepuluh minit. Datuk keluarkan daun sirih itu kembali. Terus dilipat menjadi tiga segi. Akhirnya datuk hancurkan daun sirih itu di telapak tangannya.


Daun sirih yang sudah dihancurkan itu mengeluarkan air. Dan air daun sirih itu datuk sapukan pada kedua belah buku lali nenek. Dari buku lali, air sirih itu disapukan ke belakang serta ke setiap sendi badan nenek. Bila semuanya sudah selesai datuk suruh nenek minum air kelapa muda.


“Minum dengan senafas. Kalau boleh habiskan sekali”, pesan datuk pada nenek. Semua pesan itu nenek patuhi. Sebaik saja air kelapa habis terminum nenek kelihatan lemah dan tidak bermaya. Badannya kelihatan lembik, kelopak matanya sudah tidak boleh dibukakannya. Datuk rebahkan nenek atas tikar dan terus menyelimutinya.


“Air kelapa mengeluarkan panas tetapi melemahkan badan. Dengan itu, dia akan dapat berehat, air sirih dapat mengembalikan pergerakan urat-urat yang lemah”, bisik datuk pada saya. Dia terus ke dapur mengambil bawang putih dan halia. Semua bahan-bahan itu ditumbuk dalam lesung batu hingga hancur. Bila sudah hancur, dikeluarkan dari lesung batu dan dimasukkan ke dalam gelas lalu di campur dengan satu sudu madu lebah serta air panas.


"Bila nenek kau bangun nanti, suruh dia minum benda ini", datuk menyerahkan gelas pada saya.


Datuk terus meninggalkan bilik nenek. Datuk menuju ke halaman rumah. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya di situ. Saya terus memicit-micit jari-jari kaki nenek. Tiba-tiba nenek bangun dan membuang kain batik jawa yang menye¬lubung tubuhnya. Muka nenek kelihatan merah dan berpeluh.


"Aku dahaga, ambilkan aku air.”


"Ini airnya."


Saya serahkan cawan yang diberikan oleh datuk itu pada nenek. Tanpa membuang masa lagi nenek terus meminumnya. Atas permintaan nenek saya meninggalkan biliknya. Menurut nenek badannya sudah tidak sejuk lagi, sendi-sendi badannya juga sudah tidak terasa sakit.


--- oooOOOooo ---


Sudah enam bulan saya dan datuk tinggal di kampung. Setiap pagi kami ke kebun dan ke sawah. Sesekali datuk mengulangi kerja lamanya dengan mengajak saya memasang jerat pelanduk dan memburu ayam hutan. Boleh dikatakan setiap kali ke hutan kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Saya sudah pandai mengesan jejak pelanduk dan rusa. Hidung saya juga dapat menghidu bau binatang dari jarak setengah batu. Semun kebolehan yang saya miliki itu, berkat dari kesabaran saya belajar dari datuk.


Selain dari memburu, ada minat baru yang datang secara mendadak dalam diri datuk. Minat baru datuk ialah mencari rotan. Tujuan datuk mencari rotan bukanlah untuk mencari wang seperti yang dilakukan oleh pencari-pencari rotan yang lain. Datuk cuma mencari rotan semambu untuk dibuat tongkat yang jumlahnya bukan sedikit dan bentuknya pula bermacam¬-macam. Semua tongkat rotan itu datuk aturkan di ruang tengah rumah dan berjaya menarik perhatian setiap tetamu yang datang ke rumahnya. Datuk tidak akan menjual tongkat-tongkatnya itu, walaupun ditawar dengan harga yang tinggi. Tetapi, datuk akan memberikan tongkat secara percuma pada sesiapa yang difikirkan layak diberi.


"Bersiap, pagi esok lepas sembahyang subuh kita ikut Mamat Bukit dan kawan-kawannya mencari rotan di hutan Bubu dekat Senggang”, kata datuk pada saya pada suatu pagi.


"Itu pun kalau kau nak ikut”, tambah datuk.


"Saya nak ikut tuk”, jawab saya tegas. Datuk terus menepuk kepala saya berkali-kali.


Pagi itu, nenek terpaksa bangun pukul tiga pagi, menanak nasi dan menggoreng ikan. Nasi dan ikan goreng ditaruh dalam upih lalu dibalut dengan kertas surat khabar. Datuk sudah pun menyediakan air dalam satu tong plastik besar.


"Nasi bekal itu taruh dalam beg Tamar. Tong air itu biar aku yang bawa”, kata datuk sebaik saja dia menunaikan sembahyang Subuh. Datuk sudah pun mengenakan pakaian yang biasa digunakannya ketika masuk hutan. Sementara menanti Mamat Bukit dan kawan-kawannya tiba, datuk dan saya duduk di anjung rumah.


Beberapa minit kemudian Mamat Bukit dan kawan-¬kawannya pun tiba. Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek cuma melihat langkah kami dengan teliti hingga hilang dari pandangannya.


Berjalan di hutan dalam keadaan cuaca yang agak samar dan sejuk itu amat menyulitkan bagi diri saya. Badan saya menggeletar sendirian. Sebelum matahari terbit di kaki langit, kami sudah pun meredah empat hutan dara dan hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di satu kawasan lapang lalu berehat di situ. Saya sandarkan badan ke pangkal pokok meranti. Mamat Bukit dan kawan-kawannya (empat orang semuanya) terus menebas anak-anak pokok di situ dengan golok perak. Datuk terus bergerak dari pokok ke pokok, memukul perdu dengan sepotong kayu.


Badan saya masih terasa dingin walaupun sinar matahari mula menjalar di bumi yang lembap. Burung-burung liar yang beraneka bentuk dan warna mula berterbangan sambil berbunyi. Matahari terus memancar, keadaan di sekeliling juga turut beransur cerah.


"Kita minum dulu”, kata datuk sambil duduk. Mamat Bukit dan kawan-kawannya berhenti menebas. Mereka terus duduk dan mengeluarkan bekalan air kopi masing-masing. Selesai minum kopi Mamat Bukit segera menggulung rokok daunnya bersama tembakau jawa. Dia kelihatan puas setelah menyedut rokok daun.


"Dah mandi embun?", Mamat Bukit menyoal datuk.


"Sudah."


"Rotan semambu banyak sebelah sana."


Mamat Bukit mengarahkan jari telunjuk ke arah barat daya yang berhutan tebal. Datuk merenung ke situ sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kawan-kawan Mamat Bukit memasukkan bekalan air kopi ke tempat asalnya, mereka terus bangun sambil mengeliatkan pinggang masing-masing beberapa kali.


"Kita berpecah. Udin Candung ikut aku. Dollah Beranggas ikut Samad Perang. Sebelum waktu Asar kita bertemu di sini dan dirikan pondok untuk bermalam. Petang esok baru kita balik”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah pada kawan-¬kawannya. Mereka pun bergerak mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh Mamat Bukit.


"Kita macam mana tuk?”, saya renung muka datuk.


"Kita ada rancangan kita sendiri, sabarlah Tamar."


"Tapi, kita dah bercerai dengan mereka?"


"Tak apa”, nada suara datuk cukup lembut. Dia terus menyangkutkan golok perak di tali pinggang yang dibuat dari kulit yang selebar satu inci. Saya segera bangun, beberapa ekor pacat hutan kelihatan merayap di atas daun kering menuju pada saya. Datuk saya lihat masih lagi berdiri di situ, tidak ada tanda-tanda untuk melangkah.


"Bagaimana kita tuk, boleh kita mulakan sekarang?", soal saya lagi.


Datuk tetap membisu dan masih mundar mandir di hadapan saya. Inilah saat-saat yang paling saya benci, bila datuk bertindak demikian. Cara yang paling baik saya lakukan ialah turut sama membisu. Biarkan apa saja yang mahu datuk lakukan. Tindakan saya ilu memang ada untungnya. Saya tidak marah atau merungut sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan pada datuk.


Matahari kian meninggi, saya renung ke utara dan nampak barisan Gunung Titiwangsa yang tertegun kaku, kabus nipis kelihatan mengelilinginya. Buat beberapa saat saya bagaikan terpukau pada keindahan semula jadi dalam pancaran sinar matahari pagi yang kian meninggi.


Dari arah belakang saya terdengar sesuatu yang agak ganjil, macam bunyi orang mematahkan anak-anak pokok hutan yang kecil. Bunyi itu makin lama makin jelas dan dekat. Saya renung datuk yang sedang membongkok, mencabut anak pokok besar jari kelingking. Mustahil datuk tidak dapat mendengar bunyi suara terscbut, pendengarannya lebih tajam dari saya. Tetapi, kenapa dia tidak bertindak atau membuat persediaan? Sedang saya melayan pertanyaan dalam hati, Bunyi suara ranting dan pokok hutan yang dipatahkan bertambah hebat, saya jadi cemas.


Tanpa berfikir panjang saya terus memalingkan muka ke belakang. Saya terkejut, sepasang kaki saya menjadi lemah tidak mampu menahan tubuh untuk berdiri tegak. Sekawan gajah dalam jumlah enam hingga tujuh ekor mengangkat belalai masing-masing ke arah saya sementara kaki gajah yang sebesar batang kelapa dara memijak anak-anak pokok hutan di sekeliling hingga menjadi rata dan ranap. Dalam waktu cemas begitu, saya jadi panik tidak lahu apa yang palut saya lakukan. Gajah-gajah liar itu terus mara seolah-olah batang tubuh saya tidak wujud di depan mereka. Telinga gajah yang lebar itu terus memukul badan masing-¬masing dan melahirkan bunyi yang agak kurang menyenangkan buat diri saya.


Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa badan saya macam disambar sesuatu, melayang-Iayang dan akhirnya tercampak di perdu pokok besar, kira-kira tiga puluh kaki jaraknya dari kumpulan gajah-gajah liar. Buat beberapa saat pandangan saya berpinar-pinar dan pendengaran saya jadi pana (tuli). Bila keadaan sudah pulih, saya lihat datuk berdiri di hadapan kumpulan gajah liar sambil memegang sebatang pokok kecil di tangan kanan. Tangan kirinya diangkat melepasi kepalanya. Gajah-gajah liar itu bagaikan berhenti dari melangkah sambil menegakkan belalai masing-masing setinggi yang boleh. Tempikkan dilahirkan oleh gajah-gajah itu dalam keadaan yang serentak membuat suasana di dalam hutan menjadi kacau bilau dan kelam kabut.


"Pusing ke sana”, pekik datuk dengan sekuat hati. Kesemua gajah-gajah liar itu memusingkan badannya mengikut arahan tangan kiri datuk.


"Kita semua makhluk Allah dan sama-sama mencari rezeki pemberian-Nya. Kau dengan cara kau. Kami dengan cara kami. Jalankan kewajipan masing-masing dan jangan kami”, tambah datuk sambil menjatuhkan tangannya.


Aneh sekali gajah-gajah liar itu bagaikan mengerti dengan cakap datuk. Sambil menjatuhkan belalai gajah-gajah itu bergerak ke kanan menuju ke kawasan yang banyak ditumbuhi pokok enau dan bayas.


"Bangun Tamar."


"Tak boleh tuk, saya sakit."


"Di mana?"


"Tangan dan paha kanan tuk.”


"Hum..."


Datuk segera menghampiri saya. Paha kanan saya dirabanya hingga di pergelangan kaki. Dengan sepenuh tenaga datuk merentap kaki saya hingga setiap sendi sebelah kanan badan saya berbunyi.


"Bangun”, ucapnya.


Saya pun bangun dan melangkah duatiga tapak.


"Lagi di mana terasa sakit Tamar?"


"Bahu."


Datuk terus memeriksa bahu kanan saya. Dari pangkal bahu membawa ke hujung siku, kulit saya menjadi lebam. Setiap kali datuk menekan daging badan di bahagian itu, saya terasa sakit yang bukan kepalang dan membuat saya terasa mahu buang air kecil dengan serta-merta.


"Tunggu di sini”, bisik datuk ke telinga. Saya anggukkan kepala. Datuk menuju ke perdu pokok salak, selembar daun salak yang masih hijau diambilnya. Dari situ datuk melangkah ke arah pokok jelutung dan terus terbongkok-bongkok di situ, macam mencari sesuatu. Datuk datang pada saya kembali menatang sesuatu di dalam daun salak, saya lihat benda yang datuk tatang itu lembik berwarna agak hijau muda. Tanpa berkata apa-apa datuk terus melumurkan benda itu di bahagian badan saya yang lebam dan daun salak muda terus dibekamnya sekali. Bagi mengelakkan daun salak itu jatuh, datuk terus mengikatnya dengan akar berwarna kebiru-biruan yang datuk ambil di tanah.


"Baring, luruskan kaki dan tangan. Bila aku kata bangun, kau bangun."


"Baik tuk”, badan saya rebahkan ke bumi.


Datuk terus duduk di sisi saya dengan wajah yang tenang dan sabar.


"Apa rasanya?", tanya datuk.


"Panas sampai ke tulang."


"Tak apa, sikit lagi sakit kau baik."


Lama juga saya terbaring di tanah. Muka saya berpeluh disimbah sinar matahari, tetapi rasa sakit seluruh badan terasa beransur-ansur kurang, kemudian hilang terus.


"Bangun, dan berlari.”


Saya segera bangun dan terus berlari dengan mengelilingi kawasan tanah lapang. Saya berhenti berlari atas perintah datuk.


"Apa rasanya badan kau?"


"Dah tak sakit lagi tuk."


"Mari dekat aku. Biar aku buka balut di lengan kau."


Saya terus menghampiri datuk. Tangan kanan saya hulurkan padanya. Datuk terus membelek-belek tangan saya itu seketika. Daun salak yang hijau itu saya lihat menjadi kecut, macam terkena bahang api. Sebelum membuka balut tersebut datuk terlebih dahulu merentap tangan kanan saya secara mengejut hingga berbu¬nyi. Bila balutan itu dibuka, lebam yang memanjang dari bahu hingga ke hujung siku sudah tidak ada lagi. Bila datuk menekannya dengan ibu jari, sudah tidak terasa sakit lagi. Saya boleh menggerakkan lengan kanan itu seperti biasa.


Baju yang koyak datuk cantumkan kembali dengan meng¬gunakan sejenis getah yang diambilnya dari sebatang pokok. Datuk tidak menyatakan pada saya, getah pokok jenis apa yang diambilnya dan saya tidak berminat untuk bertanya padanya.


"Kita melangkah sekarang, menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mamat Bukit. Aku harap kita dapat rotan semambu yang elok”, datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat arah kedudukan matahari.


Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dikatakan oleh Mamat Bukit, langkah datuk terlalu cepat, andainya saya menoleh ke arah lain datuk akan hilang dari pandangan saya. Berjalan dalam hutan yang penuh dengan akar-akar kayu, tunggul-tunggul lama serta pokok-pokok besar bukan satu hal yang mudah bagi diri saya. Tetapi, hal semacam itu tidak menimbulkan masalah buat diri datuk.


"Ubat apa yang tuk balutkan ke lengan saya tadi?"


"Tahi gajah."


"Tahi gajah?”, ulang saya dengan rasa yang amat terkejut.


Datuk berhenti melangkah lalu merenung muka saya bersama segaris senyum. Tekak saya terasa loya dan badan terasa geli.


"Itu petua orang tua-tua dan hasilnya sudah kau lihat sendiri. Kau tak perlu risau, petang nanti kau cuci badan kau dengan tujuh jenis daun yang aku cari”, kata datuk lagi.


Dia meneruskan perjalanan. Saya juga begitu. Saya dan datuk terpaksa menyeberangi sebatang anak sungai yang airnya mengalir jernih. Anak-anak seluang berkejaran di celah-celah batu. Airnya terasa sejuk sekali. Kemudian kami mendaki bukit kecil sebelah kanan tebing sungai. Di lereng-lereng bukit itu kami menemui rotan yang banyak tetapi rotan yang ada di situ bukanlah rotan yang dicari oleh datuk.


Kami mendaki ke puncak bukit. Datuk terpegun melihat rotan semambu yang terdapat di situ. Dia bagaikan orang gila menerkam dari satu perdu rotan ke satu perdu rotan. Semua rotan semambu yang dilihatnya menarik belaka, tidak tahu yang mana satu harus diambilnya. Mungkin kerana penat bergerak, datuk terus duduk sambil melunjurkan kedua belah kakinya. Saya masih lagi melihat daun rotan yang menghijau, bergoyang-goyang ditiup angin.


"Kau pergi ke bawah ambil air di sungai”, datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya saya renung dan datuk bagaikan tahu apa yang menjadi persoalan dalam diri saya ketika itu.


"Kau tak ada bekas nak isi air?"


"Ya tuk."


"Itu perkara mudah, biar aku buatkan", datuk pun bangun.


Dia mengambil daun hutan yang lebar lima enam lembar, daun-daun itu di cantumkannya. Bagi mengelakkan daun yang dicantumkan itu terbuka, datuk menggunakan rotan kecil yang ditajamkan dan dicucuk pada setiap sendi atau pelipat daun hutan yang sudah dijadikan dalam bentuk baldi empat segi.


"Sekarang kau pergi ambil air."


Saya pun menuruni lereng bukit dengan hati-hati. Tetapi, hati berasa kurang sedap. Saya bagaikan merasa ada mata di dalam hutan itu yang memerhatikan gerak-geri saya. Bila saya berdiri di tebing sungai, saya terdengar bunyi orang berenang di sebelah hilir. Saya terus menoleh ke arah itu, apa yang saya lihat ialah air jernih kelihatan berkilau-kilauan dipanah matahari. Saya kira, apa yang saya dengar itu cuma perasaan saja, mana mungkin ada manusia di dalam hutan selain saya dan datuk. Tidak masuk di akal air sungai yang cetek itu membolehkan manusia berenang di dalamnya. Kalau boleh pun pasti yang melakukannya manusia dungu, fikir saya.


Saya terus mengambil air sungai dan membawa pada datuk. Kami terus makan tengahari dalam hutan. Setelah makan datuk pula pergi ke sungai, mandi dan mengambil air sembahyang. Lepas itu, barulah datuk memilih rotan semambu yang dikira baik untuknya. Datuk cuma mengambil tiga batang saja.


"Tiga pun sudah cukup, lain kali aku datang lagi”, kata datuk pada saya sambil meneliti ruas rotan semambunya. Kedua belah tangan datuk genggam, dengan genggaman itu juga datuk menyukat rotan semambu dari hujung ke pangkal. Datuk memulakan sukatan itu dengan perkataan untung dan rugi. Bila sampai ke bahagian pangkal semuanya berakhir dengan perkataan untung. Kepalang gembiranya datuk, senyuman terus bermain di bibirnya.


Senyuman di bibir datuk terus berhenti dikejutkan oleh bunyi perdu rotan semambu, dedaun rotan berguguran macam ada tangan raksasa yang menggoncangnya, akar-akar rotan tercabut sendiri.


"Syaitan”, kata datuk.


"Bukan tuk, penunggu rotan semambu."


"Mana ada penunggu, penunggu tu syaitan”, suara datuk mula meninggi dan dia terus berdiri merenung ke arah perdu rotan semambu yang sudah tercabut. Saya menarik nafas panjang. Rasa takut dan cemas terus menguasai diri. Datuk tidak berganjak dari tempat asalnya, matanya tidak berkedip merenung pada setiap perdu rotan yang tercabut. Saya terkejut bila terdengar bunyi deru seperti bunyi jentera penolak datang, semua pokok-pokok di situ bergoyang. Datuk segera membongkok lalu mengambil tanah dan tanah itu dikepal-kepalnya macam nasi. Dengan sepenuh tenaga dia melemparkan kepalan tanah itu pada perdu yang tercabut. Suara jentera hilang dan perdu rotan semambu saya lihat tetap seperti keadaan asal, tidak tercabut.


"Syaitan, syaitan”, datuk menyebutnya berulang kali sambil mengajak saya beredar dari situ tanpa membawa rotan semambu yang diambilnya.


"Ke mana kita nak pergi tuk?"


Saya terus mengikutinya menuju ke arah timur bukit kecil, sambil berjalan itu datuk terus memperkenalkan jenis pokok hutan pada saya. Akhirnya datuk mematikan langkahnya. Dia terasa kakinya tersepak kan sesuatu yang keras. Dia terus membongkok dan memeriksa tanah yang di¬pijaknya. Bila datuk tegakkan badan, di tangannya terlekap sepotong besi yang panjangnya kira-kira enam inci. Besi itu sudah berkarat dan bentuknya bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa.


"Tulang mawas agaknya tuk?"


"Bukan."


"Kalau bukan besi apa pula tuk?"


"Inilah yang aku fikirkan."


Datuk terus duduk di tanah. Besi itu terus ditelitinya. Ketika itu matahari sudah agak condong kedudukannya. Dalam perkiraan saya, jika matahari itu bergerak atau tergelincir dari kedudukannya dalam jarak dua jengkal bererti waktu Asar sudah tiba. Saya mencadangkan pada datuk supaya pulang saja ke tempat asal (tempat bermalam yang dicadangkan oleh Mamat Bukit). Datuk menolak cadangan saya itu, dia masih mahu mencari rotan semambu lagi. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikutinya. Kami terus mara dalam hutan tebal. Tetapi perjalanan yang rancak itu berhenti juga, bila kami berhadapan dengan rangka besi yang bentuknya macam ekor ikan paus tersadai di satu kawasan.


"Rangka bas tuk."


"Bukan. Aku tengok macam ekor kapal terbang”, balas datuk. Dia terus menghampiri ekor kapal terbang sambil mengetuk-ngetuknya dengan belakang parang. Pada bahagian ekor yang terpacak ke atas terdapat nombor. Manakala pada bahagian tepinya (badan) terdapat perkataan ‘The Air Transport Command’ serta ‘The US Army Air Force'. Perkataan itu terus melekat di kepala saya hingga kini.


Seluruh kawasan itu kami periksa dengan teliti, begitu juga dengan bahagian dalamnya. Semua alat di dalamnya masih baik. Tanpa mengusik sesuatu kami meninggalkan rangka



kapal terbang itu. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat asal. Bila sampai di tempat datuk mengambil rotan semambu tadi, dilihatnya tiga batang rotan semambu yang dipilihnya masih berada di situ. Tanpa berfikir panjang datuk terus mengambilnya, kemudian kami mandi di sungai.


Bila kami sampai ke tempat mula-mula tiba tadi, Mamat Bukit dan kawan-kawan sudah ada, malah mereka sudah pun membuat bangsal kecil untuk bermalam. Beberapa longgokan rotan seni terdapat di situ.


"Sebelah sana, ada alur air untuk mandi dan ambil air sembahyang. Airnya jernih yang datang dari gunung”, kata Mamat pada datuk. Alur ialah aliran air atau parit kecil yang airnya sentiasa mengalir. Datuk senang dengan penerangan Mamat Bukit. Dia terus ke situ mengambil air sembahyang.


Setelah selesai menunaikan sembahyang Asar, saya terus berborak dengan kawan-kawan Mamat Bukit. Macam-macam hal yang kami kisahkan. Tetapi datuk tetap merahsiakan kejadian ganjil yang dialaminya ketika mengambil rotan semambu tadi.


"Kami jumpa bangkai kapal terbang orang putih”, ujar Samad Perang sambil menunjukkan barang-barang yang diambilnya dari bangkai kapal terbang. Antara barang-barang itu ialah tiga biji topi yang ada lambang tentera, dua bekas air, selimut, dua pasang sepatu kulit, pisau, serta buku catatan. 


Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box