SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA

    Tanpa bertangguh-tangguh lagi datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan. Saya tidak melibatkan diri ketika datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.


“Pelik juga ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.


“Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasai dan mengalaminya.”


“Apa yang orang tu berikan pada awak.”


“Beri apa? Awak gila ke.” Suara datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.


Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi datuk lalu bertanyakannya: “Apa halnya ni.”


“Orang hilang ni dah jumpa di sini,” seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.


Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu


“Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya,” suara anggota polis itu merendah. Menurutnya, dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dengan sekelip mata sahaja.


“Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa,” anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.


“Biasa macam mana?’ Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.


Dia berdiri betul-betul di depan datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah datuk kemudian dia senyum sinis.


“Awak orang luar, mana awak tahu.” Termenung sejenak datuk mendengar cakap anggota polis itu.


“Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu.” datuk merendah diri.


“Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu.”


“Itulah yang mahu saya dengar.”


“Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun.”


“Sebabnya?”


“Dia tak tahan melihat penyiksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang kampung.”


“Jepun tak tangkap dia?” soal datuk lagi.


Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengerutkan kening lebatnya.


“Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zohur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya.”


“Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan,” celah datuk.


“Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyiksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini.”


“Betul juga cakap awak tu.”


“Tapi awak jumpa dia bukan?” soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.


“Lupakan saja perkara itu,” tambah anggota polis itu sambil meninggalkan datuk, Orang-orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.


“Sudah, anggaplah ini pengalam yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakpa dengannya,” salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikan ke telinga datuk.


“Betul cakap awak tu,” balas datuk.


Datuk dan orang-orang dari Kampun Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan menaiki bas menuju ke Chemor . Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampun Ulu Kuang. Dua hari kemudian, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang. Pengalaman-pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman yang tinggi nilainya. Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup.


Sekaligus mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah maha besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diinginnya dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju dengan ilmu pengetahuan.


“Tahukah kau, di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk manusia,” kata datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan Menglembu.


“Aku harap,” tambah datuk lagi, “kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak beragama selalu sesat.”


“Saya pun berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah.”


“Bagus tu, kau mesti patuh apa yang dipertintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya. Tunaikan apa yang ditetapkan oleh rukun kerana Islam itu tiang agama.”


“Saya faham tok.”


“Jika tidak patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna.”


“Saya tahu tok,” tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak rambut saya denga mesranya.


Sampai saja di kampung halaman datuk kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.


Saya lah yang jadi tukang lapor kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang pendapat tentang peristiwa itu. Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala. Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.


“Saya nak pergi,” tiba-tiba datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti. Saya lihat datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belangga hitam serta seluar hitam. Songkok juga hitam.


“Ke mana?” tanya nenek.


“Ke rumah bini muda,” balas datuk selamba. Nenek mengizinkan datuk pergi.


Dua hari sesudah datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani temuduga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.


Saya terpilih dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan jiwa saya.


“Aku tahu, kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja sendiri jadi petani atau peniaga,” kata datuk menyambut kepulangan saya di anjung rumah.


Sesungguhnya jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun datuk dan menjual buah-buahan hasil dusun datuk di Cangkat Beranagan. Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala ikut datuk menembak rusa atau kijang di mana-mana yang disukainya.


Pagi itu, seperti biasa saya pergi kedusun memetik buah langsat dan rambutan untuk dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja, datuk menemui saya.


“Banyak yang kau dapat langsat?”


“Kira dua pikul ada tuk.”


“Tinggalkan pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni.”


“Kenapa?”


“Aku nak ajak kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku.”


“Apa halnya.”


“Usah tanya, ikut cakap aku.”


Saya terdiam dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan datuk ke kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh - Lumut. Masa itu, lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan tanah merah.


Sejak adanya lebuh raya, orang-orang di Cangkat Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah yang lama itu. Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua petang. Saya dan datuk ditempatkan di satu bilik khas.


“Apa hajatnya Tok Sidang memanggil saya?” soal datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.


“Ada hajat besar.”


“Apa hajatnya?”


“Anak buah saya berlakikan hantu raya.”


“Ha…,” mulut datuk ternganga.


Saya mula resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu didatangi oleh hantu raya. Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.


“Siapa nama perempuan itu?” datuk mula menyoal.


“Timah.”


“Bila suaminya mati?”


“Kira-kira enam bulan yang lalu.”


“Ada anak?”


“Tak ada, suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar.”


“Ini kerjanya sulit sikit.” Datuk separuh mengeluh.


“Dia mengadu pada saya minta tolong, bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang-kadang mengacau orang kampung,” tambah Ketua Kampung.


Datuk terdiam. Dia berfikir. Tiba-tiba datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung rumah Ketua Kampung.


“Saya perlu jumpa dengannya,” itu yang terkeluar dari mulut datuk.


“Bila?”


“Kalau boleh sekarang juga.


Ketua Kampung, saya dan datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah Timah dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris. Rumah Timah terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah-rumah penduduk di situ. Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada pokok itu terdapat sebatang pokok pulai.


Dari kaki tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri. Batang tubuh Timah tidak juga muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung kelihatan berkerut.


Sinar matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang bertalu-talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya terasa bunyi burung gagak itu agak berbeda dengan bunyi suara gagak yang selalu saya dengar.


Tiba-tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersila kan kami naik ke rumah.


“Minta maaf ya,” kata datuk sambil memandang ke wajah Timah. “Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?”


“Untuk…,” Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.


“Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu,” kata Ketua Kampung memberi penjelasan.


Datuk angguk kepala. Saya agak terkejut bila datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun lalu melihat kedua-dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap datuk itu.


“Itu bilik saya! jangan masuk,” jerit Timah bila datuk menghampiri bilik di bahagian kiri rumah. Datuk angguk kepala sambil meraba-raba misai tebalnya. Datuk pergi ke bilik yang satu lagi. Saya terkejut bila datuk tunduk sambil kedua-dua belah tangannya memegang perut. Saya segera menerpa untuk membangunkan datuk. Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.


“Jangan datang,” pekik datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya. Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan datuk segera meninggalkan bilik tersebut.


“Merbahaya, kita mesti balik sekarang,” kata datuk. Ketua Kampung tergamam, bagitu juga dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, datuk mengemukakan soalan pada Timah,


“Bilik siapa itu?”


“Bilik suami saya,” Jawab Timah


“Dia dah mati. Untuk apa bilik tu buatnya.”


“Saayyyya…,” suara Timah terputus.


Datuk tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung. Sebaik saja sampai ke kaki tangga, datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.


“Buat apa?” Ketua Kampung menyoal penuh ragu,.


“Nak menembak gagak untuk menolong Timah.”


“Begitu,” suara Ketua Kampung menurun.


Dia segera mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan senapang di bahu dan menyerahkan pada datuk.


Datuk membidik-bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan kanan. Dengan tenang datuk memasukkan peluru kedalam laras senapang, kemudian dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan tapak tangan yang ada air liur itu.


Datuk menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung. Datuk segera mengambilnya segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah Ketua Kampung.


Datuk naik ke rumah. Waktu hari mula remang-remang senja datuk menuju ke pangkal pokok mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di bangkai gagak tersebut. Gerak geri datuk itu saya perhati dengan teliti dari tingkap rumah Ketua Kampung.


“Suami Si Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya. Begitulah datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami Timah kawan rapatnya. Ketua Kampung juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah, antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang diri. Ketika orang-orang melihat kejadian aneh itu, suami timah sebenarnya tidak ke mana-mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya.


Bila Ketua Kampung bertanyakan hal itu suami Timah. Dia menafikan yang dia membuat kerja-kerja itu. Malah menuduh orang-orang kampung mengadakan cerita yang bukan-bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi.


Setelah menunaikan sembahyang magrib datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang. Saya lihat mulut datuk terkumat kamit membaca sesuatu. Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik pokok besar. Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu sambil berpeluk tubuh.


Dengan pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di depan datuk. Serentak saya terdengar bermacam-macam bunyi. Ada bunyi suara orang menangis dan mengilai. Ada suara gendang dipalu.


“Aku tidak bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami dari manusia. Tidak serupa cara hidupnya,” suara datuk meninggi. Lembaga hitam itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang.


Seluruh kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat. Saya terdengan bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak datuk terbang menuju ke lembaga itu. suasana menjadi tenang. Lembaga hitam hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.


“Kita ke rumah Timah,” perintah datuk. Saya pun ikut perintahnya. Bukan lah suatu perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah. Lama juga kami di situ, tidak ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.


Datuk mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Ishak. Sesudah makan, datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali. Kali ini datuk menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan masing-masing. Datuk memakai baju hitam dan seluar hitam. Dia membawa tiga batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku. Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat kepalanya dengan kain putih. Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu. Bunyi katak bersahut-sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi suara burung hantu dan jampok.


Saya lihat pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi sebahagian dari halaman rumah itu. saya lihat ada bayang-bayang hitam berdiri di muka pintu. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk bertalu-talu. Saya berlari mendapatkan datuk. Saya duduk di sisinya, tiba datuk menyepak pangkal peha saya, saya terduduk.


“Jangan dekati aku,” katanya.


Saya pun segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemayan dan membakar sesuatu. Dari rumah Timah terdengar suara lelaki. Anjing kian kuat melolong. Saya terdengar kicau burung murai ditengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung datang ke tempat saya dan datuk.  Perhatian kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas kelihatan. Angin malam terus bertiup.


“Kau kenal siapa tu?” tanya datuk pada Ketua Kampung. Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu perhatian pada rumah Timah.


“Latif, laki Timah,” katanya pendek. Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai di depannya. Tangannya menggenggam paku.


“Itu bukan latif, Itu hantu raya,” kata datuk. Sebaik saja datuk selesai bercakap, seketul batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat, dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok. Datuk mencabut keris lalu menikam bumi. Ketika datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkaup dengan sendirinya. Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang dilamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.


“Hantu tu sedang berkasih dengan Timah,” datuk memberitahu Ketua Kampung.


Datuk menikam tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila datuk mencabut keris rumah Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas lantai. Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ. Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.


Datuk menyerbu ke arah lembaga hitam itu. datuk melintas di depannya. Ketua Kampung dan saya turut sama ke situ.


“Berhenti, kau syaitan.,” jerit datuk.


Lembaga hitam itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah datuk.


“Latif…,” pekik Ketua Kampung.


Lembaga hitam itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.


“Tidak ada jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh kita berjaya membunuhnya selama-lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya dari kampung ini,” ujar datuk.


Mendengar cakap datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga yang hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan mengeluarkan cahaya.


Datuk mengambil tiga batang serai sambil mengacu-ngacu ke arahnya. Setiap kali serai itu dilihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit. Seluruh kampung bergema dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matannya dari melihat batang serai. Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke arahnya. Lembaga hitam itu berguling-guling di atas tanah bagaikan menahan kesakitan.


“Aku tahu asal usul mu dan roh mu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan diri mu kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah juga lah engkau kembali,” kata datuk. Lembaga itu terus berguling-guling.


“Dia bini aku,” secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam. Dalam rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah datuk sambil kedua-dua belah tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher datuk.

Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box