SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
Dalam pergelutan yang hebat itu, ternyata datuk tidak dapat menandingi tubuh lembaga yang berbulu lebat itu. Datuk sering saja tercampak. Dan memang perangai datuk tidak mudah mengaku kalah. Dia terus bergelut. Saya dan ketua kampung didakap rasa kecemasan. Di langit saya lihat tidak ada sebiji bintang bersinar. Pokok-pokok di kiri kanan bagaikan dilanda taufan. Suara burung hantu bagaikan orang berlagu mengiringi pertarungan datuk dengan lembaga itu.
Tiba-tiba, saya lihat berpuluh-puluh ekor burung gagak hinggap di ranting pokok. Berbunyi bersahut-sahutan. Kemudian burung-burung gagak itu terus turun ke tanah lapang. Tanah itu jadi gelap dengan burung gagak. Saya benar-benar berada dalam keadaan cemas. Lembaga yang berbulu lebat terus mencampakkan tubuh datuk ke pangkal pokok pisang.
Bisik ketua kampung pada saya. Saya terdiam, dalam saat-saat cemas begitu, saya jadi terlupa untuk mengingati ayat tersebut. Bila saya cuba, pembacaan saya banyak yang silap. Saya menggelabah tidak tentu arah. Datuk tidak juga bangun dari perdu pokok pisang. Saya teringat pesan datuk, bahawa surah al-Fatihah adalah ibu segala ayat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jadi, kalau kita berhadapan dengan musuh dan sudah tidak ada cara lain untuk mempertahankan diri, bacalah ayat tersebut sambil berusaha melepaskan diri dari musuh dengan bertawakal pada Allah Yang Maha Besar.
Jadi, al-Fatihah pun saya baca dengan teliti supaya tidak silap. Bila sudah selesai dibaca saya mula terasa semacam ada semangat baru dalam diri saya. Fahamlah saya, bahawa tidak ada kuasa yang lebih gagah dan kuat dari kuasa Allah. Saya perhatikan ketua kampung masih terus membaca Ayat Kursi.
Di tanah lapang lembaga hidup yang berbulu, berdiri gagah dikelilingi oleh berjuta-juta burung gagak. Saya renung ke langit. Saya lihat ada benda terbang separas pucuk pokok kekabu, berkilau-kilau. Benda itu seakan-akan bentuk batang buruk, di bahagian bawahnya keluar sejenis benda semacam tali, berwarna merah. Benda itu berlegar-legar atas bumbung rumah Timah dan akhirnya hilang lalu diganti oleh suara perempuan ketawa manja.
Saya raba telinga, hidung dan mata bagi memastikan apakah perkara yang saya alami satu khayalan saya sendiri. Saya meraba bumi dan rumput. Ternyata saya tidak berkhayal, saya berhadapan dengan satu dunia yang cukup ganjil dan aneh sekali.
Dalam samar-samar malam itu, secara kebetulan di langit bulan mula bersinar. Saya lihat datuk bangun menuju ke arah kami. Di tangannya masih tergenggam batang serai dan bulu burung gagak.
"Hebat,"Sepatah perkataan keluar dari mulut datuk. Dia terus duduk, kemudian mencangkung, macam orang mahu memulakan perlumbaan lari. Lepas itu bergerak lagi. Kedua-dua belah tangannya diletakkan ke depan, kaki diluruskan ke belakang. Dengan perintah datuk, ketua kampung mencacakkan bulu burung gagak dan batang serai di depannya.
Datuk merenung ke arah lembaga yang berbulu hitam. Saya lihat datuk bagaikan harimau yang mahu menerkam mangsanya. Sepuluh jarinya mencakar-cakar tanah. Dia pejamkan matanya lalu mulutnya bergerak-gerak. Saya terdengar datuk membaca sepotong ayat dari al-Quran. Saya amati pembacaannya, memang datuk membaca ayat yang pernah dibaca oleh nabi Allah Yunus ketika dia berada dalam perut ikan.
Datuk menyerahkan hati dan perasaannya pada Allah Yang Maha Besar. Memang semua kepandaian yang ada padanya tidak terdaya melawan hantu raya jelmaan syaitan itu. Datuk terus berdiri. Bulu gagak diangkatnya. Serentak dengan itu dia menyuruh saya membakar kertas. Bila api sudah menyala, ketua kampung lalu menghimpunkan daun-daun kering atas api yang membara itu.
Entah dari mana datuk mendapat kemenyan, dalam tempoh beberapa saat sahaja kawasan kami penuh dengan bau kemenyan. Makin kuat bau kemenyan masuk lubang hidung, kian kuat bunyi pokok-pokok di sekeliling kami dirempuh angin, dahan-dahan bagaikan jatuh mahu menimpa kami, tetapi bila dilihat ke atas pokok pun tidak bergoyang. Suara gagak tetap bersahut-sahutan.
Datuk membongkok dan terus menumbuk tanah. Semua burung gagak di tanah lapang berterbangan. Hilang dengan sekelip mata. Deru angin tidak sekuat tadi. Semuanya terasa menyepi. Saya lihat lembaga hitam hilang. Lebih kurang antara lima hingga tujuh minit kami dipeluk sepi. Datuk meletakkan bulu gagak atas lengan. Ditiup tiga kali berturut-turut.
"Kau!"Tempik ketua kampung, bila di depan kami wujud batang tubuh suami Timah. Bila datuk mahu menerpa ke arahnya, batang tubuh suami Timah segera hilang. Tempatnya digantikan dengan kain putih. Kain itu bergerak dan menggelembung. Saya, ketua kampung dan datuk terus melihatnya dengan penuh teliti.
"Mayat,"Kata saya.
"Ya, memang dalam kain itu mayat,"Jawab datuk.
"Mayat siapa?"Tanya ketua kampung.
"Mayat suami Timah,"Pendek datuk menjawab, sambil menyingsing lengan baju.
Mayat yang terbujur itu bergerak lalu mengoyakkan kain kafannya. Mayat itu terus duduk. Kain kafan berkumpul di bahagian pinggang. Ketua kampung memberitahu saya, bahawa itulah mayat suami Timah yang telah ditanam oleh orang-orang kampung dulu. Mayat itu memusingkan badannya sambil duduk. Merenung ke arah datuk dengan pandangan yang cukup tajam. Bau busuk mula menguasai kawasan tempat kami bernaung. Saya bagaikan mahu terkeluar isi perut.
Angin malam terus bertiup. Macam-macam bunyi yang kami dengar. Dalam suasana yang begitu, saya terdengar bunyi suara orang lelaki merintih menahan kesakitan. Saya tidak tahu dari mana suara itu datang.
Datuk mengingatkan kami. Dia maju selangkah ke depan. Saya perhatikan mata mayat itu lama-lama. Saya terkejut, memang di bahagian mata itu terdapat lubang yang boleh mengeluarkan cahaya. Kalau seimbas pandang lubang itu tidak mudah kelihatan terlopong, kelihatan macam mata manusia yang sempurna.
Datuk undur ke belakang. Dia membuka baju dan mengenakan ke tubuhnya kembali dalam keadaan terbalik. Dari rusuk baju sebelah kirinya datuk mengambil sebatang jarum panjang. Mayat yang sudah berbau itu berpusing-pusing di atas tanah. Datuk membaca mantera dan menepuk bumi tiga kali. Batang serai dibuang ke arah kanan manakala bulu burung gagak dipijaknya dengan kaki kiri. Datuk melangkah dua tapak ke depan.
"Kau suami Timah."Cukup lantang suara datuk. Mayat itu angguk kepala dan menutup kepalanya dengan kain kafan semula.
"Kau kenal ketua kampung?"Tambah datuk. Mayat itu buka kain kafan lalu merenung ke muka ketua kampung. Mayat anggukkan kepala. Saya merasa cukup seram. Datuk menggawang-gawangkan tangan di depan matanya.
Mayat itu berpusing ke arah datuk kembali. Datuk menumbuk tanah dan mayat suami Timah di depannya terus menjerit. Bergema ke seluruh kawasan, pokok-pokok kecil bagaikan mahu tercabut. Mayat itu cuba bangun, tetapi tidak boleh. Punggungnya seperti melekat pada bumi.
Datuk pun mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas. Lalu diturunkan perlahan-lahan. Berhenti separas dada. Sepuluh jari tangan datuk kelihatan kembang macam menahan sesuatu. Saya perhatikan kaki kanan datuk terbenam ke dalam bumi separas buku lali. Mayat di depannya terus berhempas-pulas.
Mulut datuk berkumat-kamit. Fahamlah saya datuk sedang berdialog dengan mayat. Kerana selalu saja mengikut datuk dan selalu pula melihat dia bercakap dengan makhluk ganjil, saya dapat membaca dan mentafsir apa yang dicakapkan oleh datuk menerusi gerak bibirnya.
Lebih kurang datuk berbicara:
"Kenapa kau datang ke dunia ini?" "Menuntut sesuatu." "Apa yang kau tuntut?" "Isteriku." "Engkau dengannya tidak boleh bersama." "Aku tahu, tapi aku mahu pulang padanya, aku mahu dia membela dan memberi aku makan." "Kalau dia tidak mahu bagaimana?" "Aku akan mencari keluarga aku yang terdekat untuk meminta perlindungan."Datuk berhenti bercakap. Timah yang sedar dari pengsan menerkam ke arah kami. Mayat itu masih terkapai-kapai. Timah terus berlindung di belakang ketua kampung.
"Apa pesannya pada kau sebelum dia mati?"Dengan mendadak saja datuk mengajukan pertanyaan pada Timah. Timah termenung sejenak mengingati sesuatu.
"Tak ada apa-apa,"Sahut Timah.
"Mesti ada, kalau tidak hantu suami kau tidak pulang,"Sanggah datuk. Timah menggigit bibir. Mayat suami Timah kelihatan berhempas-pulas mahu bangun. Bila mayat itu boleh bangun, datuk menekan kaki kirinya yang terdapat bulu burung gagak di bawahnya.
"Kalau kaki ini terangkat, syaitan yang menyerupai suami Timah akan lari, kemudian mengacau semua penduduk kampung,"Ujar datuk pada ketua kampung. Serentak saya dan ketua kampung angguk kepala.
Dalam keadaan yang serba gawat itu, dengan tiba-tiba Timah bersuara:
"Dia ada pesan, sebelum dia dimandikan dan dikafan, dia suruh saya tikamkan tapak kakinya dengan jarum." "Kau buat apa yang disuruhnya?"Datuk memotong cakap Timah.
"Tidak." "Sebab?" "Tak sampai hati." "Kalau kau membuatnya dulu, semua ini tidak akan terjadi." "Saya tak faham." "Suami kau yang sebenarnya sudah mati, apa yang kau lihat dan kita lihat ini ialah kapitnya (dampingannya)." "Maksudnya?"Soal Timah macam orang bodoh.
"Suami kau masa hidupnya berkawan dengan syaitan, bila dia mati, kapit atau kawannya itu mencari tuan yang lain."Dengan cakap datuk itu, Timah mengerti tentang keadaannya yang sebenar. Dan dia mula faham, kenapa masa suaminya hidup dulu, tanah sawah dan kebun tidak pernah dijenguk, tetapi habis ditebas dan dicuci orang. Bila ditanya pada suaminya, dia hanya mendapat jawapan begini: Sahabat kita yang mengerjakannya. Dan sekarang fahamlah Timah, siapakah sahabat suaminya yang sebenar. Dia juga mula faham kenapa suaminya selalu bercakap seorang diri waktu dinihari. Ketua kampung terus tercengang melihat keadaan yang tidak pernah dimimpikan untuk melihatnya.
Datuk menyuruh saya memijak bulu burung gagak. Saya akur dengan perintahnya itu. Bila dipijak, tapak kaki saya terasa cukup panas. Datuk terus meluru ke arah mayat. Datuk merentap kain kafan yang membalut bahagian kaki mayat itu. Mayat terus menghulurkan kedua-dua belah tangannya pada datuk, seolah-olah minta tolong.
Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. Saya lihat datuk terus menarik kaki mayat. Dia memasukkan sesuatu di situ. Lagi sekali mayat itu menjerit. Bila gema jerit mayat itu berakhir, saya lihat datuk duduk mendirikan lutut. Di atas kepala saya terdengar bunyi sesuatu yang berat dan keras melanggar pokok. Saya terus meniarap. Bila saya bangun dari meniarap, saya lihat mayat suami Timah sudah tidak ada lagi di situ, tetapi bau busuk tidak juga hilang dari tempat yang kami duduki.
Datuk datang ke arah kami. Di kaki langit cahaya kemerah-merahan mula naik. Tidak lama selepas itu, terdengar suara beduk dipalu orang bertalu-talu dan diikuti dengan suara azan memecahkan kedamaian subuh hening.
Datuk menyuruh Timah kembali ke rumahnya, kami bertiga terus menuju ke surau. Selepas mandi dan menunaikan fardu subuh, datuk mengadu pada saya kepalanya terasa pening. Sebaik saja datuk melangkah mahu keluar dari surau, dia terjatuh. Orang-orang kampung mengusung datuk ke rumah ketua kampung.
Seorang dukun dipanggil untuk merawat datuk, setelah minum air panas bercampur limau nipis, sakit kepala datuk beransur kurang, kemudian dukun itu mengurut seluruh badan datuk hingga pulih.
"Angin,"Kata dukun itu pada datuk, sebaik saja datuk sendawa dan kentut bertalu-talu. Semua orang yang berada di rumah riuh-rendah. Bila ketawa sudah berakhir, ketua kampung menceritakan apa yang kami alami malam semalam. Ada yang mengerutkan muka dan ada pula yang geleng kepala. Tetapi, mereka tidak menolak untuk diajak pergi ke tempat kejadian malam semalam.
Semuanya terpaksa mengalah pada ketua kampung yang meminta mereka sarapan pagi di rumahnya. Kira-kira dua belas orang penduduk kampung, termasuklah saya, datuk dan ketua kampung terpaksa duduk bersila di anjung rumah ketua kampung menikmati kopi dan rebus pisang pagi itu. Badan terasa segar, bila perut sudah diisi barulah sedap mengatur perjalanan. Matahari pagi terus bersinar ketika kami meninggalkan anjung rumah ketua kampung. Sepanjang perjalanan tidak banyak orang yang bertanya sesuatu daripada datuk atau saya, semuanya melangkah dengan tenang.
Kira-kira dua rantai mahu sampai ke tempat kejadian tersebut, semua orang menekup hidung. Bau busuk mula tercium. Dua tiga orang kampung tidak mahu meneruskan perjalanan. Mereka muntah dan terus pulang.
Saya terdengar suara bertanya pada datuk. Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh datuk. Dia cuma tersenyum.
"Entah, cuba tanya ketua kampung,"Sebaik saja datuk habis bercakap dia berdeham dua tiga kali.
"Itulah bau yang kami cium sepanjang malam."Sahut ketua kampung sebelum orang yang bertanya mengemukakan pertanyaan padanya.
Bila saja kami masuk ke tempat kejadian malam tadi, bau busuk itu bertambah kuat. Datuk terus menunjukkan pada orang-orang kampung tempat mayat itu duduk. Tanah di situ kelihatan berlubang. Di sekelilingnya terdapat sejenis serbuk berwarna putih seperti hampas kelapa. Bau busuk yang cukup meloyakan tekak itu berpunca dari situ.
Tiba-tiba datuk mengambil secebis kain putih yang terdapat di situ. Bila diangkat kain itu, ia bertukar menjadi habuk macam tepung. Tangan datuk yang memegang kain itu digosokkan ke tapak kaki kiri. Tujuan datuk berbuat begitu mahu menghilangkan bau busuk yang terdapat di tapak tangannya.
"Ini membuktikan, bahawa syaitan tu memang wujud, dia mempengaruhi anak Adam mengikut keadaan,"Ujar datuk tenang.
Matahari pagi kian meninggi, sudah melampaui pucuk getah. Dari situ, kami terus ke rumah Timah. Sampai saja di kaki tangga rumahnya, Timah terus mengadu bahawa dia tidak boleh duduk di dalam rumah peninggalan suaminya.
"Kenapa?"Ketua kampung menyoal.
"Seluruh rumah berbau busuk, macam bau bangkai, hingga beras dalam tempayan pun berbau busuk tok,"Suara Timah sayu. Dengan perintah datuk, saya disuruh naik ke rumah. Sebaik saja saya berada di muka pintu, saya terus termuntah. Semua yang saya makan pagi itu habis keluar. Cepat-cepat saya turun.
Atas persetujuan orang-orang kampung sebuah rumah lain didirikan untuk Timah. Rumah lamanya ditinggalkan terbiar. Rumah baru Timah didirikan berhampiran dengan rumah ketua kampung. Dengan usaha ketua kampung itu sendiri (tiga bulan selepas itu) Timah dijodohkan dengan seorang nelayan yang tinggal di Teluk Gedung - Pulau Pangkor.
Habis dari perkongsian hidup Timah dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Dan anak lelaki itu kini sudah bekerja dengan Bank Bumiputra. Dalam tahun 1977, anak lelaki Timah itu telah ditukarkan dari Bank Bumiputra Ipoh ke Bank Bumiputra Batu Pahat - Johor dan sekarang bertugas di Kuala Lumpur. Masa orang-orang kampung mendirikan rumah Timah, saya dan datuk turut membantunya. Malah, sebelum Timah pindah ke rumah barunya, datuklah orang pertama tidur di situ. Tujuan datuk berbuat begitu untuk menjamin rumah itu tidak didatangi oleh sebarang hantu syaitan, di samping datuk mencari sesuatu alamat.
Menurut datuk, setiap orang yang mahu menduduki rumah baru, sekurang-kurangnya satu malam mesti ditiduri oleh orang lelaki terlebih dulu dengan membawa sebungkus gula, susu dan segenggam beras. Orang yang tidur di situ, mestilah dirinya dalam keadaan bersih.
Sebaik-baiknya melakukan sembahyang hajat di rumah itu, mohon petunjuk dari Allah atau memohon pada-Nya supaya orang yang akan mendudukinya kelak tetap selamat serta melakukan sesuatu yang baik dan teguh iman serta kuat beribadat.
Pada hari Timah menaiki rumah barunya, orang-orang kampung telah mengadakan pembacaan doa selamat. Dua hari selepas Timah duduk di rumah baru, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Changkat Cermin.
Sebaik saja datuk sampai ke rumahnya, dia lagi sekali jatuh pengsan. Bila datuk sedar dari pengsan seluruh badannya lebam. Dia tidak boleh berdiri. Datuk terpaksa merangkak dari muka pintu hingga ke tempat tidur. Seluruh sendinya terasa sakit, macam ditikam-tikam dengan jarum.
Bila malam datuk menjerit sendiri. Anehnya, bila dibawa ke doktor ternyata dia tidak mengalami sebarang sakit dan bila dia masuk ke dalam rumah, sakitnya datang semula. Dan datuk tidak mengizinkan saya atau nenek mencari dukun untuk mengubatinya.
Sakit datuk itu berlanjutan hingga ke bulan puasa, tetapi yang peliknya datuk dapat meneruskan puasanya dengan sempurna. Pada malam dua puluh tujuh likur, datuk memanggil saya dan nenek. Dia menyuruh kami mencari limau tiga serangkai yang mengarah ke matahari terbit.
Limau itu harus dipetik sendiri tanpa menggunakan galah atau tangga. Akhirnya apa yang dikehendaki oleh datuk itu saya perolehi. Dia suruh saya meletakkan limau itu di atas pinggan putih bersama pinang kering.
Lebih kurang pukul dua belas malam. Rumah datuk didatangi oleh bau yang cukup wangi. Saya lihat pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Tidak berapa lama selepas itu, saya terdengar bunyi suara orang perempuan membaca al-Quran, suaranya cukup merdu yang datangnya dari tempat tidur datuk.
Perkara itu berlaku tiga malam berturut-turut. Saya tanyakan hal itu pada nenek. Kata nenek isteri muda datuk datang mengubatnya. Kadang-kadang saya terdengar orang bercakap dengan datuk. Pernah saya terdengar orang itu bertengkar dengan datuk. Bila pertengkaran itu berakhir suasana menjadi sepi.
Kemudian dengan jelas saya mendengar suara orang perempuan berkata begini pada datuk:
"Al-Quran yang diturunkan oleh Allah sudah cukup lengkap untuk manusia. Di dalamnya tersembunyi seribu rahsia perubatan, apa salahnya kita mengambil ayat-ayat darinya untuk penawar."Dan saya tidak pernah bertanyakan hal itu pada datuk. Walau bagaimanapun saya merasa gembira, bila pagi Syawal tiba, saya lihat datuk sudah sihat. Dia bangun pagi-pagi dan membaca al-Quran sebelum pergi sembahyang hari raya. Di masjid datuk duduk di barisan hadapan membaca takbir bersama orang ramai.
Setelah selesai sembahyang hari raya, saya dan datuk terus menziarahi rumah seluruh penduduk kampung. Bila saya dan datuk kembali ke rumah, saya terkejut melihat dua orang perempuan duduk di anjung rumah. Perempuan yang berusia agak lanjut itu tersenyum pada saya bila saya melintas di depannya, manakala perempuan muda yang berselendang lingkup itu wajahnya terlalu manis air mukanya cukup bersih.
Siapa... bertanya dalam diri saya, siapakah gerangan perempuan itu? Dalam keadaan yang kebingungan itu saya lihat perempuan itu mendekati datuk lalu mencium tangan datuk dengan diperhatikan oleh perempuan di sebelahnya. Nenek cuma tersenyum saja.
Sesudah perempuan muda itu mencium tangan datuk, dia pun membetulkan selendangnya yang jatuh ke atas bahu. Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik. Kerlingannya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya dan sepasang mata datuk terus meratah ke paras wanita muda di depannya. Nenek terus menghidangkan lemang dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali-sekali terdengar juga memecah kesunyian kampung.
Tiba-tiba saya terkejut, perempuan tua bangun serentak, tanpa menjamah barang-barang yang dihidangkan oleh nenek. Mereka menuju ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan datuk sambil melambaikan tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan perempuan muda memijak anak tangga. Sinar matahari yang mencerah di luar menerpa ke wajah mereka.
Datuk tiba-tiba terbatuk dengan kuat. Mata nenek dan mata saya tertumpu ke wajah datuk sebentar. Bila saya dan nenek berpusing ke arah muka pintu, batang tubuh perempuan muda dan tua sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hilang entah ke mana.
Saya bertanya. Datuk merenung muka nenek. Mereka berbalas senyum lalu datuk menghadapi hidangan yang tersedia.
"Siapa mereka tok?"Datuk terus menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil berkata:
"Itulah nenek muda kau,"Suara datuk menendang gegendang telinga saya. Wajah datuk saya lihat, terpamer sejuta kepuasan dalam dirinya. Saya renung muka nenek, rasa cemburu di wajahnya tidak timbul. Betapa nenek berkorban untuk kebahagiaan datuk, fikir saya dalam hati.
DATUK NENEK
"Sudahlah tu, mari minum,"Datuk menarik tangan saya. Nenek ketawa melihat telatah saya yang menurut perintah datuk itu. Nenek terus duduk di sisi saya.
Selesai makan ketupat dan rendang datuk mengajak saya ke tanah perkuburan untuk melihat pusara datuk nenek. Selesai menziarahi kubur datuk nenek dan menghadiahkan al-Fatihah atas roh mereka, datuk terus mengheret saya bertandang ke rumah kenalannya. Satu kerja yang amat tidak saya senangi. Menyusurlah saya di bawah pepohon getah mengikut langkah datuk yang rancak. Sinar matahari yang keras petang itu memaksa badan saya mengeluarkan peluh. Baju dan seluar terasa bergetah. Kain samping sudah tidak lekat di pinggang sudah bertukar menjadi kain selendang.
"Ke mana kita tok, saya dah tak tahan ni,"Saya mengadu.
"Jalan sikit lagi, kita pergi ke rumah Ujang Selamat." "Jauh lagi ke?" "Lepas pokok asam kumbang sampailah kita."Suara datuk mula keras. Matanya, tajam memandang muka saya.
Tempat yang dituju sampai juga, sebuah rumah papan beratap zink di pinggir bukit Paya Takung. Halaman rumah yang bersih itu menghala ke sawah yang saujana mata memandang. Itulah rumah Ujang Selamat ketua kampung Paya Takung dan rumahnya adalah rumah yang paling cantik dan besar di dalam kampung tersebut.
Ujang Selamat yang berbadan tegap, bermisai lebat memakai seluar dan baju hitam mempersilakan saya dan datuk naik. Datuk dan Ujang Selamat bersalaman. Ujang Selamat ketawa menampakkan giginya yang besar dan kekuningan itu. Kata datuk, Ujang Selamat berasal dari negeri Petani di Selatan Siam. Dia meninggalkan kampung halamannya sesudah tercetus peperangan antara rakyat Petani yang menuntut kemerdekaan dari kerajaan Siam.
Dalam pertempuran itu, banyak rakyat Petani yang tewas ditawan oleh tentera Siam. Ujang Selamat melarikan diri hingga sampai ke kampung Paya Takung. Dia bertani dan bercucuk tanam hingga berjaya mendirikan rumah dan membeli tanah di situ. Kemudian kahwin dengan orang di situ hingga beranak cucu.
Sedang saya dan datuk asyik menjamah lemang, tiba-tiba rumah Ujang Selamat didatangi tetamu. Lima orang semuanya. Ujang Selamat memperkenalkan saya dan datuk pada tetamu tersebut. Kami bersalaman, berkenal mesra dan sama-sama menjamu selera.
Selesai mengisi perut, kelima-lima tetamu itu meninggalkan rumah Ujang Selamat. Saya bingkas, duduk kat bendul.
"Memang hajat tu nak ke rumah awak, bila awak dah datang elok benarlah,"Kata Ujang Selamat pada datuk sambil mengipaskan badannya dengan kertas suratkhabar.
"Apa halnya?" "Awak pawang besar tentu tau atau dapat tanda-tanda." "Saya bukannya pawang, saya cuma berusaha untuk menolong." "Begini."Ujang Selamat memperkemaskan silanya. Perut gendutnya yang berlapis itu bagaikan bergerak-gerak. Angin dari tengah sawah terasa menyapu wajah.
Datuk termenung panjang, saya lihat daun telinganya bergerak tiga kali ke depan, macam telinga arnab. Mata dan muka Ujang Selamat ditenungnya.
"Ada saudara-mara awak yang sakit?"Tanya datuk.
"Semalam, ada orang dari Parit mencari, kalau ada orang yang boleh mengubat anak dara berperut buncit." "Tidak, dia sakit."Biji mata Ujang Selamat terbeliak memandang wajah datuk. Saya sandarkan badan ke dinding. Matahari petang kian condong.
"Kaum awak Ujang?"Soal datuk.
"Ada kena-mengena dengan bini saya." "Jadi apa ikhtiar kau?" "Minta jasa tok pawanglah untuk mencari orang mengubatnya atau tok pawang sendiri berusaha."BERUSAHA
Datuk terdiam, saya tahu datuk tidak berapa senang kalau dia dipanggil pawang atau bomoh. Itu bukanlah cita-citanya, tetapi kalau dia dipanggil pemburu atau tok buru, dia memang tak menolak. Dia megah kalau ada orang yang memanggilnya demikian. Datuk termenung panjang. Saya memanglah tidak begitu gembira kalau datuk memenuhi permintaan Ujang Selamat itu, tetapi sesiapa pun tidak dapat menahan sikap terpuji datuk yang suka menolong orang itu.
Di luar, matahari mula condong, tanah sawah yang sudah ditumbuhi rumput-rumput padi sudah tidak berapa jelas kelihatan, burung pipit terbang rendah menuju ke pohon yang memagari batas sawah.
"Bagaimana?"Soal Ujang Selamat sebaik saja kami sampai di kaki tangga. Datuk terdiam. Ujang Selamat masih lagi berdiri di tepinya. Memang, Ujang Selamat minta kata pasti dari datuk.
"Kena tengok macam mana jenis penyakitnya." "Bila agaknya, kita boleh pergi." "Ujang, usahlah kau susah, pagi esok kita pergi dengan bas." "Baiklah,"Suara Ujang Selamat dibungai kegembiraan.
Malam itu datuk menceritakan pada nenek tentang hasratnya untuk menolong orang sakit. Nenek membantah dengan alasan, sejak akhir-akhir ini, setiap kali datuk pulang dari mengubati orang sakit, dia pula akan diserang sakit, hingga terpaksa menjemput isteri mudanya. Dan hal begini tidak berapa digemari oleh nenek. Sebagai seorang wanita walau sebaik mana hatinya, rasa cemburu itu tetap wujud dalam dirinya. Akhirnya, nenek mengalah juga bila datuk menerangkan bahawa di dalam hidupnya dua perkara saja yang boleh menggembirakan hatinya.
Pertama memburu binatang dan kedua menolong orang sakit dengan tidak membelakangi kasih sayang dan tugasnya sebagai seorang suami terhadap isteri. Seperti biasa sebelum datuk pergi ke suatu tempat untuk mengubat orang dia akan melakukan sembahyang hajat. Mohon restu dari Allah Yang Maha Besar. Dan malam itu datuk pun melakukan sembahyang hajat.
Dan pagi esoknya, saya, datuk dan Ujang Selamat bertolak dengan bas menuju ke Parit. Dari pekan kecil itu kami menaiki perahu menyeberang Sungai Perak menuju ke sebuah kampung. Belanja Kiri namanya. Dari pengkalan perahu kami berjalan arah ke utara menuju ke sebuah rumah yang dikelilingi dengan pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis dan rambutan. Ujang memperkenalkan datuk dengan Haji Azhar tuan rumah. Dan Ujang Selamat menyatakan tujuan dan maksud datuk datang ke rumahnya.
Haji Azhar yang berkulit putih berambut jarang itu tersenyum. Dia mempersilakan kami naik ke rumahnya. Kami naik ke rumahnya. Kami duduk di bahagian anjung rumah. Haji Azhar terus menyatakan rasa putus asanya untuk mengubati sakit yang dideritai oleh anaknya. Sudah berbelas ekar tanah bendangnya dijual. Sudah berpuluh dukun Siam, Cina, Gurkha dan Orang Asli ditemui mengubati sakit anaknya, semuanya menemui kegagalan.
Dia hanya menyerahkan pada keadaan saja. Dan menerima siapa saja yang datang ke rumahnya untuk mengubati sakit anaknya itu. Untuk mencari dukun atau pawang dia tidak mahu. Dia benar-benar kecewa.
Datuk meminta izin pada Haji Azhar untuk melihat si sakit. Dengan rasa rendah hati Haji Azhar membawa saya dan datuk masuk ke dalam bilik anaknya. Datuk merenung muka anak dara Haji Azhar sambil mulutnya membaca sesuatu.
Anak dara Haji Azhar gelisah di tempat pembaringan. Matanya bersinar-sinar merenung ke wajah datuk. Perut anak dara Haji Azhar kelihatan membusut mengandung sembilan bulan. Nafasnya kelihatan tersangkut-sangkut, rambut panjangnya menutup bantal di bawah kepalanya.
Datuk minta kebenaran pada Haji Azhar dan isterinya untuk menjamah tubuh anaknya. Mereka mengizinkan. Datuk pun meraba pergelangan tangan anak dara Haji Azhar lalu berkata:
"Dah berapa lama kena sakit ni?" "Dah dekat setahun, tapi baru dua bulan ni yang teruknya." "Berjalan ke bilik air pun kena pimpin,"Celah isteri Haji Azhar. Datuk anggukkan kepala.
Saya, datuk dan Haji Azhar kembali ke ruang tengah rumah. Kami dapati Ujang Selamat tidak ada. Dada saya berdebar. Dengan tidak diminta Haji Azhar terus menceritakan pada datuk selain daripada berubat cara kampung dia juga sudah membawa anaknya ke rumah sakit Ipoh. Hampir sebulan anaknya ditempatkan di rumah sakit tersebut.
Setelah diperiksa didapati anaknya itu tidak mengalami sebarang sakit ataupun mengandung. Pihak rumah sakit berpendapat sebab perut anaknya buncit kerana mengandungi air. Dan mereka pun berusaha mengeluarkan air dari perut anaknya itu, tetapi usaha itu gagal. Perut anaknya tidak juga mahu surut. Akhirnya anak kesayangan Haji Azhar dibawa pulang.
Dua bulan sesudah itu lagi sekali Haji Azhar membawa anaknya ke rumah sakit besar - Ipoh. Perut anaknya di-X-ray. Pihak doktor di rumah sakit itu tetap berpendapat anaknya tidak menghidap sebarang jenis penyakit, malah salah seorang doktor Melayu bertugas di situ, Dr. Megat Khas telah menasihatkan Haji Azhar supaya berubat cara kampung. (Dan Megat Khas sudah meninggal dunia dalam tahun tujuh puluhan).
Semua yang diceritakan oleh Haji Azhar itu, didengari oleh datuk dengan cukup teliti. Dan setiap kali Haji Azhar berhenti bercakap sepasang matanya tetap tertumpu ke wajah datuk, seolah-olah dia mengharapkan sangat-sangat datuk dapat menyembuhkan penyakit dideritai oleh anaknya itu.
"Siapa nama anak tuan haji itu?" "Latifah." "Dulu pernah dipinang orang atau ada menaruh hati pada sesiapa?" "Menaruh hati tu, saya tak tahulah, tapi orang meminangnya memang ada." "Jadi bertunang." "Tidak, saya tolak." "Sebab." "Belum masanya."DENDAM
Datuk anggukkan kepala dua tiga kali. Sesekali datuk merenung keluar ikut tingkap rumah yang terdedah. Kemudian datuk memberi janji pada Haji Azhar untuk berikhtiar mengubati anaknya, dengan syarat Haji Azhar harus menyediakan buah pinang merekah di pokok, daun delima dan tulang kucing hitam. Dengan pertolongan Ujang Selamat semua benda-benda itu dapat diadakan.
Lebih kurang pukul sepuluh malam datuk pun mula menjalankan tugasnya dengan penuh teliti. Sedang datuk membaca mantera, tiba-tiba seketul batu melayang masuk ke dalam rumah. Jatuh di hujung kepala anak dara Haji Azhar. Dengan sekelip mata saja batu kecil itu, mengeluarkan asap yang berkepul-kepul penuh satu ruang rumah. Semua orang dalam rumah itu habis terbatuk.
Datuk bangun, lalu membuka kain lilit kepalanya. Dua tiga kali dia mengibaskan kain lilit kepalanya ke kanan dan ke kiri. Asap itu berhenti dan batu pun ghaib. Tempat batu itu jatuh nampak berlubang dan hangus. Datuk berhenti dari meneruskan kerjanya.
"Nampaknya sakit anak tuan haji ni, dibuat dengan cara sihir, ada orang dendam dengan keluarga tuan haji. Ini semua kerja syaitan,"Rungut datuk sambil merenung muka Haji Azhar.
"Orang yang membalas dendam ni, bukan kepalang orang, saya minta diri untuk mengubatnya,"Sambung datuk. Muka Haji Azhar berubah. Saya perhatikan kedua-dua belah kelopak matanya digenangi air jernih. Anaknya yang terlentang kelihatan resah dan badannya berpeluh. Datuk menarik tangan Haji Azhar ke sudut rumahnya. Datuk merapatkan mulutnya ke telinga Haji Azhar.
"Tangguh dulu, kita ikhtiar cara lain malam esok,"Kata datuk.
"Saya mengikut saja, asalkan sakit anak saya baik." "Saya tahu, sakit anak tuan haji ni, bukan sebarang sakit, ada campur kerja syaitan." "Habis apa yang mesti saya buat?" "Bersabar dan berikhtiar, dalam alam ini, yang Maha Berkuasa adalah Allah dan tidak ada penyakit yang tidak boleh diubati, kalau diizinkan Allah."Mendengar cakap datuk itu, Haji Azhar tersenyum. Masih ada harapan untuknya berusaha. Ujang Selamat juga memberi harapan yang begitu juga pada Haji Azhar. Sepanjang malam itu, saya dan datuk tidak dapat tidur dengan cukup lena, kerana bermacam-macam bunyi yang kami dengar di luar rumah Haji Azhar. Bila hal itu diceritakan pada Haji Azhar pagi esoknya, dia mengakui bahawa sejak anaknya jatuh sakit, bunyi begitu memang selalu didengarnya.
Datuk membuat keputusan untuk pergi ke rumah kawannya di Sungai Rokam - Ipoh. Menurut datuk kawannya itu berasal dari Bawean dan boleh mengubati sakit yang dialami oleh anak Haji Azhar itu. Dengan daya usaha Ujang Selamat, datuk pun bertolak ke Ipoh dengan sebuah kereta kepunyaan anak buah Ujang Selamat. Datuk meninggalkan Kampung Belanja Kiri di tepi tebing Sungai Perak itu kira-kira pukul lapan setengah pagi. Dan pukul lima petang dia pun pulang dengan seorang wakil yang berbadan kurus.
"Ini kawan saya, namanya Wansi, dah dua kali ke Mekah,"Datuk memperkenalkan kawannya pada Haji Azhar dan orang-orang yang menyambut kepulangannya di halaman rumah. Datuk terus bercerita tentang kawannya itu pada orang ramai. Kata datuk, kawannya itu dulu bekerja dengan Kelab Lumba Kuda Perak, memang handal berjudi, minum arak dan kaki perempuan. Bila dia jatuh sakit teruk, tiga bulan terlantar di rumah membuat dia insaf. Bila dia baik dari sakit terus menjadi baik dan meninggalkan kerja-kerja yang ditegah oleh Allah.
Sebelum mengubati anak dara Haji Azhar, Wansi meminta hanya saya, datuk dan dirinya saja yang boleh berada di tempat dia akan lakukan kerjanya. Semua permintaannya itu dipenuhi. Dia juga meminta pada Haji Azhar semua kerja yang dilakukannya jangan diberitahu pada orang ramai.
Satu syarat yang agak ganjil yang dikenakan oleh Wansi, dia minta Haji Azhar membuat sebuah pondok kecil di depan rumah Haji Azhar dan pondok itu tidak berpintu. Orang yang boleh mendiami pondok itu ialah saya, datuk dan dirinya sendiri. Hari yang dipilih oleh Wansi untuk mengubat ialah hari Rabu, mulai pukul satu tengah hari.
Sebelum itu, kami tidak dibenarkan menemui sesiapa. Selama lima jam, kami tidak boleh memijak tanah, tidak buang air kecil dan besar. Satu kerja yang cukup seksa saya rasakan, kerana datuk mahu saya mengenali pelbagai ragam kehidupan yang ganjil atas dunia ini, saya terpaksa mematuhinya.
Tengah hari Rabu, matahari sudah agak tergelincir dari ubun-ubun kepala. Saya dan datuk serta Wansi menghadap dupa yang mengeluarkan asap kemenyan kerana semua tingkap di pondok itu ditutup, badan terasa panas.
"Sedia,"Kata Wansi yang sebaya dengan usia datuk. Dia pun mula bercakap dalam bahasa Bawean, terlalu cepat cakapnya. Dia berhenti lalu merenung pada datuk. Dia angguk kepala. Datuk juga angguk kepala. Datuk menghampirinya.
"Ada apa Wansi?"Tanya datuk.
"Kita baca ayat Quran dulu,"Jawab Wansi sambil menerangkan pada datuk ayat mana yang mesti dibaca.
Sedang mereka asyik membaca ayat-ayat suci itu, pondok kami bagaikan digegar orang, serentak dengan itu api menyala dengan tiba-tiba di tengah pondok. Bila api itu dipadamkan, menyala pula di bahagian lain. Saya jadi kelam-kabut dibuatnya.
Dengan tenang Wansi mencampakkan seketul besi ke tempat api yang menyala itu. Tiba-tiba api itu padam dengan sendiri. Dan api ajaib itu tidak lagi datang menyerang pondok. Saya diberitahu oleh datuk, besi yang berjaya memusnahkan api ajaib itu di depan dupa.
Muka Wansi kelihatan berkerut. Seekor kelawar hitam terbang rendah di depan dupa lalu jatuh di situ. Wansi mengambil kelawar hitam itu dimasukkan ke dalam uncang yang dibuat dari kain hitam.
Wansi bangun. Dia merenung datuk dan saya. Wansi melangkah keluar pondok ikut tingkap. Saya dan datuk juga berbuat demikian. Sebaik saja kami bertiga memijak bumi, dua tiga titik darah jatuh atas pipi kami. Dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Wansi naik ke rumah Haji Azhar terus masuk ke dalam bilik tempat anak dara Haji Azhar terkapar.
Saya terkejut, bila Wansi merentap kain yang menutup perut anak dara Haji Azhar. Perut anak dara itu kelihatan berkilat dengan urat-urat yang timbul sekali imbas macam buah tembikai. Wansi menekan perut anak dara itu dengan kedua-dua belah tangannya. Jeritan anak dara itu menguasai seluruh Kampung Belanja Kiri. Saya dengan datuk hanya melihat saja. Jeritan anak dara yang kuat itu, makin lama makin beransur kurang dan akhirnya berhenti terus. Dari hidung anak dara itu keluar darah.
Wansi terus menekan perut anak dara itu. Saya lihat tangan Wansi yang keras itu masuk ke dalam perut anak dara itu bagaikan terkoyak. Pergelangan tangan Wansi penuh dengan darah. Tiba-tiba Wansi berpaling pada datuk dan berkata:
Wansi tidak menjawab pertanyaan datuk itu. Dia terus menarik tangannya dari perut anak dara. Saya lihat di tangan Wansi terlekat kain batik Jawa yang berlipat cantik. Dengan segera perut anak dara yang buncit itu terus kempis dan rata. Wansi melihat lelehan darah di perut anak dara itu. Dia membaca sesuatu, kemudian perut anak dara itu digosoknya dengan tapak tangan kanan tiga kali berturut-turut. Dalam sekelip mata saja perut itu bercantum kembali tidak terdapat sebarang kesan luka atau darah di situ.
Anak dara Haji Azhar sedar dari pengsan. Dia membuka matanya dan memandang ke arah datuk. Anak dara Haji Azhar bangun dan terus duduk.
"Kenal, kain siapa ni?"Tanya datuk pada anak dara Haji Azhar.
"Saya punya, tapi sudah lama hilang dalam simpanan saya." "Di mana hilangnya?"Wansi pula menyoal.
"Kain batik tu, saya jemur di ampaian, tiba-tiba hilang. Itu saja yang saya ingat,"Terang anak dara Haji Azhar dengan jujur.
Datuk pun memanggil Haji Azhar dan isterinya. Mereka mengakuinya bahawa kain batik tu dibeli oleh Haji Azhar ketika dia pergi menziarahi keluarganya di Bandung, Indonesia. Bila pulang ke rumah kain itu dihadiahkan pada Latifah anaknya. Dan pada suatu hari Latifah mendapati kain batik itu hilang di ampaian sesudah dibasuh.
TOLAK
Pada petang Rabu itu juga, Latifah anak dara Haji Azhar dimandikan dengan tujuh jenis bunga di tepi tebing Sungai Perak oleh Wansi. Menjelang waktu Maghrib Latifah diletakkan di atas pelantar yang dibina berhampiran dengan ampaian tempat kain batiknya hilang. Semua kerja dilakukan oleh Wansi.
Pada sebelah malamnya, ketika Wansi dan datuk bercakap di anjung rumah, seketul tulang lengan manusia dilemparkan oleh satu lembaga hitam dari halaman rumah. Bila tulang lengan itu dijamah oleh datuk, tulang itu terus menjadi arang.
Ujar datuk pada Wansi.
"Ya, tapi aku tak mahu orang itu dibalas, memadai saja dia disuruh bertaubat."Sebaik saja Wansi habis bercakap, wajah seorang lelaki muncul di depan Wansi dari dalam kegelapan malam itu. Bila datuk mengamati wajah pemuda itu ternyata dia adalah pawang Orang Asli yang terkenal dari batu enam belas jalan Tapah ke Cameron Highland, Pahang.
Wajah lelaki yang bengis itu kelihatan mengeluarkan asap dan melangkah mahu menerkam ke arah datuk dan Wansi.