SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN

    Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu, saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap. Menurut datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas.


Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak. Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu, harus melalui beberapa ujian yang tertentu.


Bila tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya, tengkorak yang sudah dipisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah atau dipegang. Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya.


Orang yang mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah sebelum subuh. Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu. Lepas itu baru diserahkan pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan rumah jangan dianayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan mahu menguji kebolehan orang yang menyimpan tengkorak tersebut.


“Sebenamya, ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup berkesan. Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu-ilmu pukau yang lain,” begitulah yang dinyatakan oleh datuk pada saya secara ringkas.


“Lihat mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah,” kata datuk dengan nada suara yang cukup perlahan. Memang benar cakap datuk itu, saya lihat ketua pukau dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia memerintah anak buahnya memijak anak tangga pertama dengan hati-hati.


Saya terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah tercegat dan mempersilakan kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya .


“Kau tidurlah, kami tak ganggu kau,” cukup lantang suara ketua pukau. Tuan rumah angguk kepala lalu merebahkan diri di muka pintu.


“Bukan di situ, tempat kau di bilik,” mendengar suara ketua pukau, tuan rumah segera bangun dan menuju ke bilik tidur. Ketua pukau mengambil tengkorak lalu melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri. Dia bagaikan bercakap sesuatu dengan tengkorak tersebut. Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali berturut sambil berkata:


“Mulakan. Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan rumah.”


Habis saja ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua pukau pun masuk ke rumah. Mereka mencari barang-barang berharga. Lebih dari setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak buah ketua pukau menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada ketuanya. Saya lihat ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.


“Dah selesai?” tanyanya pada anak buah.


“Ambil daun tujuh helai dan ranting berkapit dua,” ketua pukau memberitahu anak buahnya. Perintah itu segera dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah. Ketua pukau lagi sekali berhadapan dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.


“Apakah yang mesti kita buat sekarang tok,” saya menyoal datuk bila melihat ketua pukau dan anak buahnya meninggalkan kawasan rumah yang di curi.


“Biarlah mereka pergi,” pendek saja datuk memberikan jawapan.


Bila kumpulan itu sudah pergi jauh dan datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah dihidupkan dan kereta mereka sudah bergerak, datuk pun mengambil ranting berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua benda-benda itu datuk bawa pulang ke pondoknya.


Sebaik sahaja datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api di tempatnya. Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting berkapit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh kedalam tempat bara api.


Saya tidak bertanya kenapa datuk melakukan semua kerja itu. Saya lihat datuk terus termenung didepan bekas bara api sambil menaburkan kemenyan ke dalamnya.


“Aku harap orang-orang yang mencuri itu akan datang menemui aku siang esok,” kata datuk dengan nada suara yang tenang.


Saya terus diam dan merebahkan badan di hujung lutut datuk . Lepas itu saya tidak tahu apa yang datuk buat tetapi saya di kejutkan oleh datuk ketika azan subuh menguasai kampung.


Pagi itu Din Kerani menemui datuk dan mencarikan pada datuk apa yang berlaku di rumah ketua kampung. Datuk juga diberitahu, barang-barang yang hilang dinilaikan lebih dari enam ribu ringgit, termasuk wang tunai yang berjumlah dua ribu ringgit, hasil dari penjualan tanah isteri ketua kampung di Rendang Sawa, dekat Batu Gajah.


Secara terang-terangan Din Kerani melahirkan rasa kesal kerana datuk tidak berjaya menahan kejadian pukau itu itu dari berlaku. Malah Din Kerani meminta kata putus dari datuk sama ada dia sanggup menjalankan kerjanya atau tidak. Kalau tidak sanggup Din Kerani mahu mencari orang lain.


“Apa kau fikir menangkap orang berilmu sama macam menangkap anak ayam?” tanya datuk pada Din Kerani sambil membeliakkan biji mata.


“Saya dah tak boleh sabar, semua orang kampung dah tahu, saya yang bawa awak ke sini untuk mengatasi masalah ini, kalau tak berjaya tentulah saya malu.”


“Kenapa kau begitu bodoh, beritahu orang kampung? Apa kau tak boleh sabar sikit?”


Nada suara datuk yang meninggi itu membuat Din Kerani termenung panjang. Dia bimbang benar kalau rumahnya akan menjadi mangsa ketua pukau. Datuk minta Din Kerani menunggu di pondok hingga pukul empat petang.


“Buat apa?”


“Untuk melihat ketua pukau.”


Mendengar cakap datuk itu, air muka Din Kerani segera berubah. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Datuk. Mana mungkin pencuri mahu menyerah diri, kalau tidak ditangkap. Fikir Din Kerani.


“Benar atau berjenaka?” Din Kerani meminta kepastian.


“Benar,” jawab datuk dengan tegas.


Entah apa malangnya, ramalan datuk tidak menjadi kenyataan. Hingga jam lima petang ketua pukau yang diharapkan itu tidak datang. Satu tamparan yang cukup hebat dalam tugas datuk. Belum pernah dia mengalami perkara seperti itu sebelumnya. Mukanya merah padam. Din Kerani tidak mahu bercakap walau sepatah pun dengan Datuk. Dia meninggalkan pondok dengan seribu pertanyaan.


“Orang ini benar-benar handal dan dia tidak akan tunduk pada sesiapa,” keluh datuk sambil merenung ke muka saya. Dia terus ambil air sembahyang lalu menunaikan fardu asar. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh datuk selepas sembahyang. Saya lihat dia tertungguk depan tikar sembahyang sambil membuka beberapa buah kitab.


Habis membaca kitab, Datuk membaca surah Yassin. Datuk berhenti melakukan semua itu, setelah masuk waktu Maghrib. Saya dan datuk sembahyang di pondok. Bila masuk Isyak saya dan Datuk berjemaah bersama-sama orang kampung di surau.


Di surau orang-orang kampung membentuk satu jawatankuasa bertindak mengawal kampung. Mulai malam itu, lima orang lelaki dikehendaki mengawal kampung mulai jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi. Dari pukul 2.00 hingga 6.00, orang yang lain pula datang mengambil tugas itu yang berjumlah lima orang juga. Din Kerani dipilih sebagai ketua gerakan tersebut. Dia diwajibkan berada di surau setiap kali lepas waktu sembahyang Isyak.


Saya merasa kurang senang hati terhadap sikap orang-orang kampung pada datuk. Mereka buat tidak kisah dengan datuk, tidak seperti mula-mula datuk datang dulu. Barangkali mereka mula sedar, bahawa datuk tidak mampu bertindak lebih jauh lagi untuk mencegah kejadian pukau. Meskipun begitu datuk tidak merasa kecil hati. Dia tetap melayan orang-orang kampung dengan baik dan peramah. Dia bercakap dengan tok siak, dia menyapa tok imam dan ketua kampung. Sebelum pulang datuk bercakap dengan Din Kerani dan datuk minta Din Kerani datang ke pondoknya kira-kira pukul satu malam.


Malam itu datuk tetap berusaha untuk memberkas ketua pukau. Dia berazam untuk menangkap ketua pukau itu dan mahu menasihatinya supaya jangan meneruskan kerja yang boleh menyusahkan orang ramai. Datuk mahu menasihatkan ketua pukau itu supaya mencari rezeki yang halal.


Datuk membentangkan kain hitam di tengah ruang pondok. Dia meletakkan keris panjang di tengah kain. Mangkuk putih yang berisi air ditempatkan dibucu kain hitam sebelah kanan. Bucu sebelah kiri diletakkan tempurung serta sabut.


Datuk berdiri tegak menghadapi benda-benda itu semua. Datuk memakai seluar hitam serta baju hitam dan pinggangnya diikat dengan kain merah. Kepala dililit dengan kain kuning. Datuk berdiri sambil memeluk tubuh. Datuk terus membaca ayat Al-Iqra' hingga tamat.


Lepas itu dia membaca Al-Fatihah. Sebaik saja datuk selesai membaca dengan tiba-tiba mangkuk putih yang berisi air bagaikan meletup, air melimpah atas kain putih. Datuk terus duduk. Keris panjang saya lihat bergerak sendiri menuju ke bucu kain hitam sebelah kanan. Wajah datuk cukup cemas. Peluh halus muncul dengan tiba-tiba di dahi luasnya.


“Orang ini mencabar aku,” kata datuk pada saya.


Cepat-cepat datuk membuka bungkusan kain kuning yang disimpannya dalam beg rotan. Dia mengeluarkan sebilah keris pendek berulu gading. Mata keris itu kelihatan berkarat. Datuk pernah menceritakan pada saya, bahawa keris itu memang dibawanya dari Jambi, Indonesia. ltulah satu-satunya peninggalan orang tuanya yang dapat diwarisinya. Keris itu pernah digunakan ketika menentang Belanda di Acheh.


“Besinya dikutip dari besi-besi sekitar Acheh dan Jambi, dibuat dengan tangan. Mata keris itu sudah di taruh racun getah ipoh,” kata datuk pada saya satu masa dahulu. Datuk juga memberitahu keris tersebut pernah membunuh beratus-ratus tentera Belanda.


Keris itu disimpan dalam busut di bawah rumah. Bila orang tuanya mahu meninggal dunia, keris itu diserahkan padanya dengan syarat dia tidak boleh memijak bumi Jambi sampai akhir hayat, kalau mahu keris itu menyimpan bisa dan kuasanya.


Hanya itu saja yang saya tahu tentang keris tersebut. Datuk terlalu merahsiakan tentang keris itu dari anak cucunya, kecuali saya. Datuk melayarkan mata keris ke atas bara. Saya lihat keris itu bertukar kemerah-merahan. Di mata keris tersebut timbul huruf-huruf jawi iaitu dua kalimah syahadah. Datuk menyimpan keris kembali. Dia merenung tembikar mangkuk putih yang berserak.


“Kau memang mahu menghancurkan aku,” tiba-tiba saya terdengar satu suara dari arah kanan. Saya segera menoleh. Seorang lelaki tua berdiri di situ. Dari mana datangnya saya sendiri tidak tahu. Datuk merenung lelaki itu dengan pandangan yang tajam.


“Aku sebenarnya tidak pernah tenang dan aku harap kau akan memberikan ketenangan itu pada aku,” lelaki itu bersuara lemah.


Datuk terdiam. Saya lihat datuk seperti berada dalam keadaan yang tidak tentu arah.


Datuk menarik tangan saya. Dan saya pun segera mendekatinya. Dalam keadaan yang agak tenang itu, datuk sempat memberitahu saya, bahawa lelaki tua yang kelihatan itu adalah kenalannya yang sama-sama datang dari Jambi.


Bila sampai ke semenanjung, kenalannya itu sudah mati lemas di sungai, dekat pengkalan di Hutan Melintang. Perahu yang dinaiki kawannya itu karam akibat berlanggar dengan batang kayu di musim tengkujuh. Datuk menyuruh saya duduk di muka pintu pondok. Arahan Datuk itu saya patuhi.


“Kenapa kau yang datang Tandang Ali? Aku bukan mencari kau,” kata datuk sambil membaca sesuatu. Ibu jari tangan datuk menekan pangkal belikat. Wajah datuk agak pucat sedikit.


“Aku tahu apa yang kau cari Ucang Diah,” beritahu lelaki itu. Saya terkejut, kerana lelaki itu dapat menyebut nama datuk dengan tepat. Sebenarnya tidak ramai orang yang tahu nama sebenar datuk. Dalam kad pengenalan datuk namanya tercatat sebagai - Kulub Mohd Diah. Dan orang-orang kampung, anak cucunya juga tahu itulah nama datuk yang sebenar.


Tetapi pada saya, datuk memberitahu secara rahsia nama sebenarnya yang diberitahu oleh orang tuanya ialah Ucang Diah. Ucang itu adalah nama keturunan atau suku yang dibawanya dari Jambi.


“Engkau boleh memberi ketenangan pada roh aku.”


“Maksud kau?”


“Akulah yang memberikan tengkorak pada ketua pukau. Aku mengambilnya dari kubur dan aku memujanya. Selagi tengkorak itu tidak hilang darinya, roh aku tidak aman.”


“Kenapa kau memanjangkan ajaran syaitan?”


“Itulah silapnya aku.”


“Kau tahu hukumnya menyiksa mayat? Berdosa besar.”


“Masa itu aku tidak terfikir. Yang aku fikirkan masa itu ialah menyuruh mereka memukau rumah-rumah orang putih yang menjajah negara kita, tetapi mereka melakukan sebaliknya.”


“Apapun niat kau tetap berdosa. Islam tidak mengajar pengikutnya membuat jahat. Islam menyuruh umatnya berunding dan menggunakan akal fikiran. Kenapa kau menyempitkan ajaran Islam?”


“Aku tahu..,” belum pun sempat orang itu mengakhiri cakapnya, datuk terus membelakanginya. Dengan sekelip mata saja, lelaki itu hilang dari pandangan saya. Datuk terus menuju ke muka pintu. Dengan tenang memijak anak tangga pondok. Saya mengekornya dari belakang.


“Ke mana tok?”


“Ke surau.”


Sebaik saja saya dan Datuk melangkah lima langkah ke depan, tiga orang lelaki menghalang. Saya kenal lelaki yang berbaju putih dengan badik di tangan itu ialah ketua pukau.


“Hei kalau kau benar-benar handal tunjukkan, apa hak kau menghalang kerja kami?” Cukup keras suara ketua pukau. Salah seorang dari rakannya memberikan golok perak kepadanya. Datuk menyuruh saya undur. Muka ketua pukau saya lihat merah padam dalam samar-samar cahaya bulan malam itu.


“Aku guni kan awak dengan anak awak, kami nak campak kedalam Sungai Kinta,” ketua pukau terus mengugut.


Datuk berdiri tegak dihadapan ketiga-tiga lelaki itu. Kaki kanan datuk saya lihat bergerak-gerak. Mata datuk tidak berubah merenung muka ketua pukau. Datuk menikam tumit kaki kanan ke dalam bumi. Separuh dari tumit itu saya lihat tenggelam.


“Kenapa bersekutu dengan syaitan untuk mencari kemewahan?” Datuk terus menyergah ketua pukau.


Dan ketua pukau sudah tidak sanggup menerima penghinaan itu. Dia lalu mengangkat golok perak untuk menetak batang leher datuk. Datuk kerutkan muka. Tumitnya kian kejap ditekan ke bumi. Saya lihat seakan-akan ada kepulan asap mengelilingi buku lali kaki datuk.


Ketua pukau angkat senjata, tiba-tiba tangan dan kakinya tidak boleh bergerak bagaikan terkunci. Dia berusaha mahu bergerak. Usahanya gagal. Mulutnya separuh terbuka. Datuk melangkah ke depan. Dengan cepat datuk menyentuh mata golok perak.


Dengan tiba-tiba golok perak itu patah dua. Bahagian atas yang patah jatuh betul-betul di hujung sepatu ketua pukau. Datuk menghentakkan kakinya keatas tanah sekuat hati. Golok perak yang tinggal separuh di tangan ketua pukau terlepas.


“Kuncinya sudah aku buka. Apa yang aku mahu sekarang, ingat bersekutu dengan syaitan tidak akan boleh ke mana-mana. Belajarlah hidup dengan berusaha mencari rezeki yang halal,” datuk memberitahu ketua pukau.


Dengan mendadak saja ketiga-tiga ahli kumpulan pukau itu sujud di kaki datuk. Cepat cepat datuk menolak ketiga-tiga badan anggota pukau itu. Datuk berubah tempat berdiri.


“Jangan sujud di kaki aku. Aku adalah manusia seperti kau juga, berasal dari tanah. Dalam Islam tidak ada manusia yang tinggi dan rendah, semuanya sama saja. Kamu semua harus sujud pada Allah yang Maha Besar meminta ampun dan bertaubat,” kata datuk.


“Tapi kami mahu minta maaflah pada orang yang kami curi harta-bendanya. Jangan hukum kami.”


“Aku tidak boleh menghukum kamu. Allah yang Maha Besar berhak atas dirimu. Pada Allah terletak hukuman yang adil.”


“Kami bertaubat.”


“Bertaubatlah pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku,” datuk mengemukakan permintaan secara jujur.


Belum pun sempat ketua pukau melakukan apa yang diperintahkan datuk, Din Kerani pun datang. Datuk terus memberitahunya, bahawa kaki pukau yang dicari ada di hadapan. Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki pukau ke balai polis. Permintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh datuk.


“Maafkan orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghukumnya. Dengan kesempatan yang kita berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran Islam yang sebenarnya,” itulah alasan yang diberikan oleh datuk pada Din Kerani.


Datuk membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada datuk tengkorak kecut yang digunakan ketika mencuri.


Sejak terjadi peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan datuk terus duduk di Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi. Dalam rancangan datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak kecut dari ketua pukau, barulah dia pulang ke kampung.


Ternyata, ketua pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan memukau di kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka tempoh hari. Sedarlah datuk, sekali syaitan menguasai hati manusia memang sukar untuk membuangnya.


Datuk menjadi manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi berita itu didengarnya pada setiap hari bila dia berjemaah ke surau. Datuk pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan cuba menghancurkan kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri.


Dua hari di kampung, datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan. Kami tinggal di rumah seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz. Dengan secara jujur datuk memberitahu ustaz tersebut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang untuk kesitu untuk memberkas kumpulan pukau.


Ustaz tersebut memperkenalkan datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya, orang Lambor Kanan. Mat Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan adanya kerjasama dari datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditumpaskan. Memang datuk berazam, bila kumpulan itu dapat di berkas, datuk tidak akan memberikan ampun dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka dihukum mengikut undang-undang yang telah di tetapkan.


Suatu petang Mat Jali datang menemui datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga waktu Maghrib. Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui datuk. Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang mereka bicarakan. Perkara yang nyata ialah, sambil datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil. Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah, Datuk terus berpesan padanya:


“Saya yakin, mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, firasat saya ini betul, dan awak akan berjaya.”


“Semoga Allah akan memberkati kerja saya ini.”


“Sama-samalah kita berdoa”, sahut datuk dari muka pintu.


Datuk masuk kerumah. Dia terus membaca surah Yassin, duduk di ruang tengah bersama saya dan ustaz. Menurut datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya mungkir janji dan dan kedua gurunya sendiri tidak merestui kerja tersebut.


“Kerja dia orang licin”, kata ustaz.


“Saya tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak aman.”


“Macam mana Wak tahu hal itu?”


“Kerja jahat, janganlah ditanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat saja. Setiap kerja yang kita lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di berkati oleh Allah atau tidak.”


“Saya paham.”


Cuma setakat itu saya dengar kata-kata datuk dan ustaz. Lepas itu masing-masing masuk bilik. Lebih kurang pukul dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu-talu. Datuk buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.


“Apa halnya?”, soal datuk.


“Semuanya dapat kami tangkap.”


“Dimana?”


“Macam awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di Bidor.”


“Sekarang dia orang di mana?”, tanya datuk lagi. Dia tersenyum puas.


“Di Balai Polis Langkap.”


“Kenapa di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?”, celah ustaz yang berbadan besar, ada janggut sejemput di dagu, memakai kaca mata putih.


“Tak tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar.


"Begitu", suara datuk lemah.


Malam itu juga, saya dan datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis Langkap. Atas daya usaha Mat Jali, datuk dan saya dapat menemui ketua pukau bersama kawannya di dalam lokap.


"Kenapa kamu tak insaf?", soal datuk pada ketua pukau. Pertanyaan datuk itu tidak mendapat jawapan. Ketiga-tiga kaki pukau itu diam membisu. Dari Mat Jali datuk mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hitam.


Sudah ada anak dan isteri. Anaknya yang besar belajar tingkatan dua di Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus meminta tengkorak kering dari ketua pukau.


Datuk memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib, di samping itu datuk juga memberitahu, bawa guru mereka Tandang Ali memintanya mengambil tengkoraknya itu dari mereka.


"Dia sudah mati", meletus jawapan dari ketua pukau.


"Aku tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang berhak, baru dia aman. Aku tahu, dia kawan aku".


Ketua pukau terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi datuk tidak memperolehi apa-apa darinya. Datuk tahu tengkorak itu ada padanya. Siapa pun tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali menggunakan beberapa petua yang tertentu. Tengkorak itu boleh di sembunyikan dicelah kulit bahagian paha dimana orang tidak akan nampak.


Pada pukul 10 pagi datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa ke Balai Polis Kampar. Sebelum bertolak datuk mengingatkan polis yang mengawalnya supaya berhati-hati dengan ketua pukau. Meskipun tangan digari, dia boleh melepaskan diri. Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan dalam ilmu kebatinan. Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan diri, datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep itu pergi ke Kampar.


Permintaan datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Lengkap. Datuk merasa bertuah kerana Mat Jali bersedia membawa datuk ke Kampar dengan menaiki keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang.


Datuk nampak resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam perjalanan. Tetapi Mat Jali meyakinkan datuk, bahawa semuanya berjalan dengan baik, malah dia yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri.


Datuk diam. Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut. Mukanya mula didatangi oleh peluh-peluh halus. Saya tahu, bila datuk melakukan hal sebegitu, dia merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.


“Dia berjaya membuka garinya”, tiba-tiba datuk bersuara agak keras.


Ketika itu kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air Kuning, dekat Kampar (jambatan itu dirobohkan dalam dalam tahun 1976, sebagai gantinya satu jambatan baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).


“Dia akan terjun ke dalam sungai”, kata datuk lagi.


Sebaik saja datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun ke atas jalan raya, kemudian terjun ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya terpaku. Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti. Jeep itu pun berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut kereta.


“Dia agak handal orangnya”, ujar datuk sambil merenung kedalam sungai yang berbuih. Polis angkat rifle dan menjunamkan muncung ke arah perut sungai.


“Kita tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahan air”, kata Datuk.


Cakap datuk itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air tempat dia terjun tetap berbuih.


Datuk memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa sedikit. Datuk meminta Mat Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau ke Kampar. Jeep pun bergerak. Datuk berdiri di tebing sungai. Dia mengambil air sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas.


Sebelum air itu jatuh ke tanah, datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu disemburkan ke dalam perut sungai. Saya lihat air sungai bagaikan menggelegak dan berbuih-buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu berpusing-pusing menjadi semacam lubuk.


Dengan mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya ke tepi tebing. Ketua pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu benda putih.


Benda itu berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak terse but.


Datuk merawat ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan bagaikan kilat dia merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah datuk.


Datuk cepat-cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh di kaki, dan secara mendadak saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai perut kedua pukau. Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, datuk memeluk tubuhnya dan dengan sekilap mata sahaja datuk muntah darah.


Seluruh badan datuk menjadi biru.

Kongsikan Posting

Anda boleh klik butang di bawah untuk tanda.

SIRI 01 - SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
SIRI 02 - BERTEMU DENGAN PENUNGGU BABI HUTAN
SIRI 03 - TERTIDUR DI RUMAH BUNIAN
SIRI 04 - KERETA DATUK TERSADAI DI TEPI JALAN
SIRI 05 - BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN
SIRI 06 - MELIHAT JEMBALANG AIR
SIRI 07 - TERKENCING DALAM SELUAR
SIRI 08 - MANUSIA BERKEPALA ANJING
SIRI 09 - PANJAT BILIK ANAK DARA
SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN
SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM
SIRI 12 - TOYOL JADI-JADIAN
SIRI 13 - PENUNGGU HUTAN HULU KINTA
SIRI 14 - BERSUAMIKAN HANTU RAYA
SIRI 15 - DIKEJAR MAYAT
SIRI 16 - KAIN DALAM PERUT GADIS
SIRI 17 - BERTARUNG DENGAN BOMOH ORANG ASLI
SIRI 18 - DIGANGGU LEMBAGA HITAM
SIRI 19 - DIRESAPI SEMANGAT MONYET
SIRI 20 - MEMBURU RAJA PUKAU
SIRI 21 - BERGURU DENGAN SYAITAN
SIRI 22 - PENUNGGU RUMAH TOK KAYA SENDI DIRAJA
SIRI 23 - ROH BAYI CARI IBU
SIRI 24 - PUAKA TIANG SERI
SIRI 25 - SUMPAH NASI TANGAS
SIRI 26 - ISTERINYA JADI KELIP-KELIP
SIRI 27 - MANUSIA TANPA KEPALA
SIRI 28 - KUBUR BERASAP
SIRI 29 - DIKACAU PENUNGGU KOLAM
SIRI 30 - ILMU RAJA KELAWAR
SIRI 31 - RUMAH MISTERI
SIRI 32 - BOMOH HUJAN KENA UJI
SIRI 33 - MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT
SIRI 34 - BERJANJI DENGAN SYAITAN
SIRI 35 - MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
SIRI 36 - PUKAU ULAR TEDUNG
SIRI 37 - TERKENA BADI BELIBIS
SIRI 38 - SUARA AZAN DALAM KOLAM
SIRI 39 - DENDAM ORANG SABAR
SIRI 40 - PEMUDA MENJERIT MALAM
SIRI 41 - BERKASIH DENGAN LANGSUIR
SIRI 42 - SEPASANG TANGAN BERBULU
SIRI 43 - BUAYA JADI JADIAN
SIRI 44 - SKANDAL PAWANG BUAYA
SIRI 45 - BADAN PAWANG BERASAP
SIRI 46 - BERJALAN ATAS ANGIN
SIRI 47 - BILA SYAITAN DATANG MENGUJI
SIRI 48 - BERTEMU IBU SANTAU
SIRI 49 - RAHSIA SEBUAH KOLAM
SIRI 50 - MANUSIA HARIMAU
SIRI 51 - RAHSIA SEORANG SAHABAT
SIRI 52 - SEBILAH KERIS ANEH
SIRI 53 - GHAIB DALAM BAS
SIRI 54 - PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
SIRI 55 - MAMAT BUKIT YANG GAGAH
SIRI 56 - BOMOH TERJUN
SIRI 57 - SUMPAH SELADANG MERAH
SIRI 58 - ILMU PAPAN SEKEPING
SIRI 59 - KELAWAR PONTIANAK
SIRI 60 - LUMPUH DI KAKI
SIRI 61 - TULANG JARI DI DAUN KELADI
SIRI 62 - PUJA KUBUR
SIRI 63 - NISAN BERDARAH
SIRI 64 - ORANG BERJUBAH HITAM
SIRI 65 - DARAH DALAM MULUT GADIS
SIRI 66 - PENDEKAR TERBANG
SIRI 67 - PELIHARA ULAT TOKAK
SIRI 68 - PUJA LIDAH ANAK DARA
SIRI 69 - ILMU KAUM KUBU
SIRI 70 - BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
SIRI 71 - DIBURU MANUSIA IBLIS
SIRI 72 - DITELAN PASIR
SIRI 73 - DISERANG KUCING HITAM
SIRI 74 - PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN
SIRI 75 - TELAN DARAH DAN NANAH
SIRI 76 - UJI ILMU PADA ISTERI ORANG
SIRI 77 - AKIBAT MALUKAN ORANG
SIRI 78 - KAKINYA DIPAUT BUMI
SIRI 79 - WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
SIRI 80 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 81 - DICAKAR KUCING HUTAN
SIRI 82 - HARTA KARUN DI KAKI CANGKAT
SIRI 83 - BUNUH JEMBALANG
SIRI 84 - BELAH PERUT BURUNG
SIRI 85 - KATAK GANJIL
SIRI 86 - LIDAHNYA KELUAR
SIRI 87 - TONGKAT BERUKIR KEPALA ULAR
SIRI 88 - MAYAT BERDIRI
SIRI 89 - CAWAN BERGERAK SENDIRI
SIRI 90 - ILMU PUKAU KUCING
SIRI 91 - CAHAYA DI LANTAI
SIRI 92 - BOMOH TUA BAWA BENCANA
SIRI 93 - MASIH DALAM UJIAN
SIRI 94 - PENJAGA AYAM HUTAN
SIRI 95 - DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
SIRI 96 - HARIMAU DISANGKAKAN KUCING
SIRI 97 - UDIN TARZAN YANG TEWAS
SIRI 98 - TUBUH TERAPUNG DI UDARA
SIRI 99 - KAKI BERBULU
SIRI 100 - ORANG TUA MISTERI
SIRI 101 - MUNCUL DAN HILANG SEKELIP MATA
SIRI 102 - RAHSIA SEBUAH RUMAH TINGGAL
SIRI 103 - JAMUNG TENGAH MALAM
SIRI 104 - DIKUASAI SUARA ANEH
SIRI 105 - MANDI DI AMBANG PINTU
SIRI 106 - HARIMAU SEMBUNYI KUKU
SIRI 107 - MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
SIRI 108 - NISAN BERGERAK
SIRI 109 - ILMU SUHAIMI KERABA
SIRI 110 - KURA-KURA MATA HIJAU
SIRI 111 - KELAWAR HISAP DARAH
SIRI 112 - KEPALA KE LANGIT
SIRI 113 - KITAB KEJAHATAN
SIRI 114 - HITAM SEPARUH BADAN
SIRI 115 - PULANG DARI KUBUR
SIRI 116 - BUDAK GANJIL TANPA PAKAIAN
SIRI 117 - ILMU TELAPAK PASIR MERAH
SIRI 118 - KENA SERBUK TULANG
SIRI 119 - BAYANG HITAM DATANG LAGI
SIRI 120 - DIGANGGU MONYET BESAR
SIRI 121 - TETAMU CACAT
SIRI 122 - MENGAKU KETURUNAN HANG JEBAT
SIRI 123 - TUBUH TERBENAM DALAM PASIR
SIRI 124 - BADI EKOR BUAYA
SIRI 125 - BERBALU KAIN KUNING
SIRI 126 - TUBUH DI AWANG-AWANGAN
SIRI 127 - DIREJAM DENGAN BULUH KUNING
SIRI 128 - RAHSIA DAUN SERIBU KAPIT
SIRI 129 - API KELUAR DARI KUBUR
SIRI 130 - SI TUA MISTERI DARI SOLOK
SIRI 131 - MENGGELETEK MACAM CICAK
SIRI 132 - BUKAN MUNTAH DARAH
SIRI 133 - RAHSIANYA MULA KETARA
SIRI 134 - LEMBAGA DI TEPI LAUT
SIRI 135 - KAYUH PERAHU DENGAN TANGAN
SIRI 136 - LELAKI SERBA HITAM
SIRI 137 - DIBELIT ULAR GHAIB
SIRI 138 - ULAR KEPALA BUAYA
SIRI 139 - SELUDUP SENJATA UNTUK PEJUANG
SIRI 140 - LAWI AYAM PEMBELAH PERUT
SIRI 141 - PULAU BERJALAN
SIRI 142 - GADIS JELITA JILAT DARAH
SIRI 143 - CAHAYA MISTERI DARI LAUT
SIRI 144 - RAHSIA SEBILAH PEDANG
SIRI 145 - ILMU SI BANGAU PUTIH
SIRI 146 - BERTARUNG DI BATANGHARI
SIRI 147 - DIUSIK PENUNGGU SUNGAI
SIRI 148 - MEMBUANG ANCAK
SIRI 149 - SYAITAN JADI DAMPINGAN
SIRI 150 - DITAWAN DARA KUBU
SIRI 151 - MISTERI KAIN HITAM
SIRI 152 - KETUANYA BOMOH WANITA
SIRI 153 - DENDAM BOMOH WANITA
SIRI 154 - CICAK HITAM DALAM BILIK
SIRI 155 - LEMBING PUAKA
SIRI 156 - MISTERI SENJATA LAMA
SIRI 157 - WANITA BERMATA SYAITAN
SIRI 158 - BERTANGANKAN KAKI HARIMAU
SIRI 159 - TERPENJARA DI RUANG MAYAT
SIRI 160 - MENGHADAPI UJIAN MAHAGURU
SIRI 161 - BALDI BERDARAH
SIRI 162 - SENAFAS DENGAN GURU
SIRI 163 - MAYAT DALAM GUNI
SIRI 164 - DENDAM TOK GURU
SIRI 165 - DIKEJAR MAKHLUK ANEH
SIRI 166 - LELAKI DARI KERINCI
SIRI 167 - WANITA DI RUMAH BATU
SIRI 168 - RAHSIA GADIS KERINCI
SIRI 169 - MENDENGAR SUARA GANJIL
SIRI 170 - DI BILIK MISTERI
SIRI 171 - MIA,GADIS HARIMAU
SIRI 172 - LEMBAGA DI PINTU
SIRI 173 - SAMION BONGKAR RAHSIA
SIRI 174 - GADIS MUNCUL WAKTU SUBUH
SIRI 175 - CALON SUAMI GADIS HARIMAU
SIRI 176 - MEMANGGIL MAHKLUK HALUS
SIRI 177 - JUMPA DI KUBUR LAMA
SIRI 178 - DIBURU PENUNGGU RUMAH LAMA
SIRI 179 - KAIN HITAM PEMBALUT TUBUH
SIRI 180 - DIRASUK KUCING JANTAN
SIRI 181 - RAHSIA HUJUNG KAMPUNG
SIRI 182 - JADI HAMBA IBLIS
SIRI 183 - MATANYA MULA MERAH
SIRI 184 - PENGAWAL BERTELINGA KUDA
SIRI 185 - MEREBUT GELIGA NAGA
SIRI 186 - ULAR HITAM JELMAAN JIN
SIRI 187 - SAKA NENEK MOYANG
SIRI 188 - BAHANA DURI IKAN PARI
SIRI 189 - TULANG PARI KELUAR DI LEHER
SIRI 190 - AYAH PERKOSA ANAK KANDUNG
SIRI 191 - KUBUR DI PANAH PETIR
SIRI 192 - MAKHLUK ANEH USUNG MAYAT
SIRI 193 - DAGING PIPINYA RELAI
SIRI 194 - TERAPUNG DI ATAS KUBUR
SIRI 195 - TERKAPAR DI PANGKAL POKOK
SIRI 196 - DIKEJAR ULAT BANGKAI
SIRI 197 - RAHSIA 4 PETI HITAM
SIRI 198 - TERKAPAR DI HALAMAN RUMAH
SIRI 199 - MAKHLUK HALUS DALAM DARAH
SIRI 200 - BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN
SIRI 201 - TAK DAPAT KAWAL PERASAAN
SIRI 202 - PEREMPUAN BEREKOR HARIMAU
SIRI 204 - TINGGALLAH DUKA TINGGALLAH SAYANG
SIRI 205 - DARA BERAT JODOH
SIRI 206 - DIDATANGI KELAWAR MATA MERAH
SIRI 207 - MANUSIA KABUS
SIRI 208 - DARA DIMAKAN SUMPAH
SIRI 209 - DENDAM DARI BILIK RAHSIA
SIRI 210 - MANGSA SUSUK IBU
SIRI 211 - SUSUK GADAI ANAK
SIRI 212 - ANAK SULUNG NIKAH SELUDANG
SIRI 213 - TAK RELA MATI KATAK
SIRI 214 - DENDAM DUKUN BANTEN
SIRI 215 - LEMBAGA HITAM TANPA KAKI
SIRI 216 - RAJA SUSUK MATI DI MASJID
SIRI 217 - MAYAT BERBAU WANGI
SIRI 218 - MENJUNJUNG SONGKOK HITAM
SIRI 219 - RAHSIA PONDOK RAJA SUSUK
SIRI 220 - SUARA AZAN DALAM RIMBA RAYA
SIRI 221 - DIUSIK HARIMAU RAJA SUSUK
SIRI 222 - DISERANG MONYET JADIAN
SIRI 223 - DIUSIK MANUSIA KELUANG
SIRI 224 - DISERANG PONTIANAK
SIRI 225 - PENUNGGU BILIK
SIRI 226 - WANITA DALAM BILIK PAWANG
SIRI 227 - DI PINTU KEMATIAN
SIRI 228 - DENDAM WANITA HODOH
SIRI 229 - SEDUT TULANG BAYI
SIRI 230 - WANITA BERKAKI IKAN
SIRI 231 - PAWANG 99 ISTERI
SIRI 232 - HARUAN BESARKAN KEMALUAN
SIRI 233 - DUGAAN PERJALANAN
SIRI 234 - DALAM CENGKAMAN PENGKHIANAT
SIRI 235 - TERDESAK JADI HARIMAU
SIRI 236 - MANGSA RAJA SIHIR
SIRI 237 - DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU
SIRI 238 - TERJEGIL BIJI MATA
SIRI 239 - DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN
SIRI 240 - DIPEGANG JIN TANAH
SIRI 241 - DENDAM
SIRI 242 - JASAD JADI BATANG PISANG
SIRI 243 - TEPUK BUMI PETAKA TIBA
SIRI 244 - RAHSIA 3 MANUSIA TERBONGKAR
SIRI 245 - BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR
SIRI 246 - 3 MANUSIA LAKNAT TEWAS
SIRI 247 - DIANCAM DENGAN PARANG PANJANG
SIRI 248 - TUNGGANG HARIMAU LINTAS JALAN
SIRI 249 - MAKAN BERSAMA DI RUMAH TAJUDDIN
SIRI 250 - PEMUDA RAMBUT PANJANG
SIRI 251 - REBAH DI PINTU SURAU
SIRI 252 - PAK GURU MASUK PARIT
SIRI 253 - ANAK KAMI DISIHIR ORANG
SIRI 254 - TUK GURU SASAU
SIRI 255 - BOMOH KENA TENDANG
SIRI 256 - IMAM SHAFIE PALSU DAPAT ILMU SYAITAN
SIRI 257 - REBUT TOK GURU
SIRI 258 - SYAITAN DALAM DARAH
SIRI 259 - TANAM GELAS DENGAN TUMIT
SIRI 260 - DISERANG PENGIKUT SETIA
SIRI 261 - ABU BAKAR BAWAFI UTUSAN ALLAH
SIRI 262 - TUMBUK BUMI KAKI LEMBIK
SIRI 263 - SUARANYA TERSEKAT
SIRI 264 - DI TENGAH KAMPUNG TERPENCIL
SIRI 265 - SUARA KUDA DITENGAH SAWAH
SIRI 266 - GURU JADI HARIMAU
SIRI 267 - KUBUR MAHAGURU GHAIB
SIRI 268 - BERMALAM SAJA DI SINI
SIRI 269 - MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
SIRI 270 - ORANG BETAWI
SIRI 271 - BILIK MISTERI
SIRI 272 - TENDANGAN MAUT
SIRI 273 - USUNG KERANDA REPUT
SIRI 274 - DIBAYANGI MAKHLUK ASING
SIRI 275 - TENGKORAK DI TENGAH JALAN
SIRI 276 - PERJALANAN DIHALANG
SIRI 277 - SELAMAT TINGGAL SHAFIE
SIRI 278 - MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
SIRI 279 - IKRAR TURUNAN PENDEKAR
SIRI 280 - PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
SIRI 281 - PELURU DALAM BADAN ZUBIR
SIRI 282 - JAGUH ORANG MISKIN
SIRI 283 - PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI
SIRI 284 - SELAMAT JALAN KAWAN
Newer Post Older Post

Telah Dibaca

Home

Lain-Lain Artikel

Chat Box